Tahukah anda lebih dua billion umat Islam di seluruh dunia bersatu dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri setiap tahun. Walaupun disambut dengan perbezaan adat dan budaya tetapi intipati sambutannya tetap sama iaitu sebagai tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Setiap budaya memberikan sentuhan unik yang menjadikan perayaan ini begitu istimewa. Berikut adalah 10 tradisi Aidilfitri yang dari pelbagai negara:
- Afrika Selatan: Tradisi ‘Maan Kykers’
Di Cape Town, komuniti Muslim mempunyai tradisi unik di mana ratusan orang berkumpul di Signal Hill, Sea Point Promenade atau pun Three Anchor Bay untuk mencari anak bulan. Hanya individu yang dilantik khas dipanggil Maan Kykers (Pelihat Bulan) bertanggungjawab melihat anak bulan. Pengumuman hari raya hanya akan dibuat selepas bulan sabit kelihatan dengan mata kasar, mewujudkan suasana komuniti yang sangat akrab.
- Turki: Festival Manisan (Şeker Bayramı)
Turki meraikan Aidilfitri dengan fokus kepada kemanisan. Kanak-kanak akan mengetuk pintu rumah jiran untuk memberi salam dan sebagai balasan, mereka akan diberikan manisan tradisional seperti baklava atau Turkish Delight (Lokum). Inilah sebabnya ia digelar ‘Seker Bayrami’ atau Pesta Gula.
- Afghanistan: Pertarungan Telur (Tokhm-Jangi)
Tradisi yang paling mencuri tumpuan di Afghanistan adalah Tokhm-Jangi. Selepas solat sunat Aidilfitri, lelaki dari pelbagai usia akan berkumpul di taman untuk bertanding memecahkan telur rebus yang telah diwarnakan. Peserta yang telurnya tidak pecah dianggap pemenang. Tradisi ini dianggap sebagai simbol mengeratkan hubunga persaudaraan ketika lebaran.
- Somalia: Hidangan Cambaabur
Bagi rakyat Somalia, Aidilfitri tidak lengkap tanpa Cambaabur. Ia merupakan lempen yang diperbuat daripada gandum, serbuk kunyit, gula, yis, bawang putih, bawang besar dan habbatus sauda sebelum diperam selama beberapa jam untuk menjadikannya lebih kembang. Setelah siap Dibakar, ia disajikan bersama taburan gula dan yogurt. Hidangan ini menjadi menu utama sarapan pagi sebelum keluarga saling menziarahi. Ia juga dikenali sebagai Eid Bread.
- Pakistan: Malam Berinai (Chaand Raat)
Di Pakistan, kemeriahan bermula pada malam raya yang dikenali sebagai Chaand Raat. Kaum wanita akan membanjiri pasar sehingga tengah malam untuk membeli gelang kaca, berpakaian cantik dan menghiasi tangan mereka dengan corak inai (henna) yang rumit dan cantik. Pasar-pasar malam di pelbagai kota besar seperti Lahore, Karachi, Islamabad dan Rawalpindi turut dihiasi dengan pesta lampu di setiap ceruk jalan.
- Indonesia: Tradisi Mudik dan Halal Bihalal
Seperti mana rakyat Malaysia, Indonesia juga mempunyai fenomena Mudik yang mana jutaan penduduk kota pulang ke kampung halaman serentak. Tidak hairan sebelum ini pernah berlaku peristiwa kesesakan lalu lintas luar biasa sehingg berhari-hari untuk sampai ke destinasi. Selain hidangan Lapis Legit yang masyhur, mereka mengamalkan Halal Bihalal, iaitu majlis memohon maaf secara besar-besaran untuk mengeratkan silaturahim.
- Arab Saudi: Jamuan Terbuka di Jalanan
Di beberapa kawasan di Arab Saudi, penduduk tempatan akan meletakkan permaidani besar di atas jalan raya selepas solat sunat raya. Setiap keluarga akan membawa hidangan terbaik mereka untuk dikongsi dan dimakan bersama-sama dengan jiran serta orang asing yang lalu-lalang. Selain jamuan, terdapat tradisi meninggalkan makanan ruji seperti beras di hadapan rumah golongan yang memerlukan secara rahsia. Amalan memberi hadiah atau permainan kepada kanak-kanak juga dianggap sebagai kemurahan hati semasa perayaan.
- New Zealand: Karnival Raya
Di Auckland, khususnya di Eden Park, sering diadakan sambutan Aidilfitri berskala besar (karnival) yang menampilkan gerai makanan, permainan dan aktiviti perayaan yang meriah. Walaupun hanya minoriti penduduk beragama Islam tetapi perayaan tetap disambut bersama. Tradisi balik kampung diteruskan dengan berkunjung ke rumah rakan-rakan senegara serta rumah jiran tetangga.
- Maldives: Tarian dan Persembahan Muzik
Raya Aidilfitri disebut Kuda Eid dalam Maldivian. Di sesetengah kawasan, sebaik selesai solat sunat Aidilfitri, mereka akan berkumpul beramai-ramai untuk meraikan dengan cara persembahan muzik tradisional Boduberu, permainan tradisional Koadi Kendun, serta parade kostum Maali Erun. Hidangan istimewa seperti kari ikan dan nasi kelapa turut disediakan.
Kesimpulan: Kepelbagaian tradisi ini membuktikan bahawa walaupun cara kita meraikan hari kemenangan mungkin berbeza mengikut geografi, semangat kesyukuran, kemaafan dan kasih sayang tetap menjadi tunjang utama Aidilfitri.
Tiada komen lagi.