Rancangan untuk bercuti ke Thailand dengan kenderaan sendiri memang menyeronokkan. Bayangkan memandu santai ke Hat Yai atau Krabi sambil menikmati keindahan alam dan kelazatan street food. Namun, sebelum memulakan perjalanan, ada satu perkara kritikal yang wajib diselesaikan: Insurans Kenderaan.
Ramai pelancong Malaysia terkeliru dengan jenis insurans yang diperlukan. Ada yang sangka cukup sekadar insurans sedia ada di Malaysia, namun hakikatnya, sistem di Thailand sedikit berbeza. Berikut adalah definisi dan fungsi setiap insurans yang perlu anda tahu:
- Compulsory Insurance (CI) – Wajib Ada!
Seperti namanya, ini adalah insurans paling asas dan wajib di bawah undang-undang Thailand (Motor Vehicle Accident Victims Act 1992). Tanpa CI, anda tidak akan dibenarkan melepasi kastam Thailand.
- Fungsi: Melindungi kos rawatan hospital dan pampasan kematian bagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan (pihak ketiga).
- Penting: CI TIDAK melindungi kerosakan kenderaan anda atau kenderaan pihak lain. Ia hanya fokus kepada nyawa dan kecederaan manusia.
- Voluntary Insurance (VI) Tyepe 3 – Pelindung duit poket anda
Jika CI melindungi nyawa, VI pula melindungi harta benda. Di Thailand, kos membaiki kenderaan orang lain jika berlaku kemalangan boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
- Fungsi: Melindungi kerosakan harta benda pihak ketiga. Jika anda terlanggar kereta warga tempatan, syarikat insurans akan menanggung kos tersebut mengikut had polisi.
- Mengapa Perlu? Tanpa VI, anda terpaksa membayar ganti rugi secara tunai di tempat kejadian atau berisiko ditahan untuk siasatan lanjut.
- Extension 101 – Sambungan polisi Malaysia
Ramai pemandu tidak sedar bahawa polisi insurans kenderaan di Malaysia biasanya tidak aktif secara automatik sebaik sahaja anda melintasi sempadan antarabangsa.
- Fungsi: Ini adalah tambahan kepada polisi insurans asal anda di Malaysia. Ia memastikan kenderaan anda sendiri tetap dilindungi daripada kecurian, kebakaran atau kerosakan di Thailand.
- Penting: Jika anda terlibat kemalangan di Thailand, anda boleh membawa pulang kenderaan tersebut ke Malaysia dan membuat tuntutan pembaikan di bawah polisi Malaysia anda.
TAMBAHAN: Secara umum, Extension 101 TIDAK AKAN menanggung sebarang kerosakan akibat bencana alam di Thailand kecuali anda memiliki tambahan perlindungan yang disebut ‘Special Perils’.
- Jika anda memiliki tambahan Special Perils di dalam polisi insurans, maka kenderaan anda akan dilindungi dari sebarang bentuk bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan kebakaran.
- Personal Travel Insurance (Insurans Perjalanan)
Walaupun anda sudah ada insurans kenderaan, insurans perjalanan tetap penting untuk perlindungan diri sendiri dan ahli keluarga.
- Fungsi: Melindungi risiko bukan kenderaan seperti keracunan makanan, sakit mengejut, kehilangan dokumen (pasport) atau kecurian barangan peribadi.
- Kelebihan: Kos perubatan di hospital swasta Thailand boleh menjadi sangat mahal bagi warga asing. Insurans perjalanan memastikan anda sentiasa tenang jika berlaku perkara yang tidak diingini sepanjang bercuti di sana.
Untuk perkara pertama dan kedua, anda boleh mendaftar di mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut berdekatan dengan sempadan Thailand. Pastikan anda membaca dahulu setiap maklumat sebelum membuat sebarang pembayaran.
Kesimpulan: Jangan hanya kerana ingin berjimat cermat, anda menggadaikan ketenangan percutian anda walaupun hanya percutian di negara jiran.
Tiada komen lagi.