Dalam dunia pengembaraan moden, keindahan sesebuah destinasi bukan lagi diukur pada monumen bersejarah semata-mata, sebaliknya pada kualiti hidup, kebersihan, keselamatan serta kecekapan infrastruktur yang ditawarkan. Menurut laporan terbaharu Economist Intelligence Unit (EIU) Global Liveability Index 2026, terdapat 10 bandar raya utama di dunia yang berjaya memenuhi semua kriteria emas ini, menjadikannya destinasi impian untuk didiami mahupun dilawati.
Keistimewaan 10 Bandar Terbaik Dunia 2026
1. Copenhagen, Denmark (Skor: 98%)
Mengekalkan kedudukan tangga teratas untuk dua tahun berturut-turut, ibu negara Denmark ini mencatatkan skor penuh dalam kategori kestabilan, pendidikan dan infrastruktur. Keistimewaan Copenhagen terletak pada budaya berbasikal mesra alam, laluan terusan air yang bersih, seni bina futuristik serta konsep kehidupan ‘hygge’ yang mengutamakan keselesaan dan kesejahteraan mental warga tempatan.
Apa yang lebih menarik, pendidikan awam adalah percuma dari peringkat sekolah rendah hingga universiti. Begitu juga kos perubatan percuma untuk semua penduduk berdaftar di bawah sistem perubatan awam (national healthcare) yang dibiayai sepenuhnya oleh cukai pendapatan.

2. Vienna, Austria (Skor: 97.3%)
Sebagai pusat kebudayaan dan muzik klasik dunia, Vienna menawarkan gabungan seni bina Baroque yang megah dan sistem pengangkutan awam yang sangat cekap serta murah. Kadar jenayah yang amat rendah, kualiti perkhidmatan kesihatan yang tinggi serta budaya kafe ikonik menjadikannya sebuah bandar yang sangat selamat dan tenang.
Vienna menawarkan nisbah kualiti hidup yang sangat seimbang. Kos sewa kediaman dikawal oleh kerajaan (subsidised housing), menjadikannya lebih murah berbanding Zurich atau Copenhagen. Pendidikan awam adalah percuma dan yuran universiti awam adalah sangat rendah berbanding negara Barat yang lain.
3. Melbourne, Australia (Skor: 97.1%)
Ibu kota kebudayaan Australia ini terkenal dengan kepelbagaian seni lorong (laneways), budaya kopi gourmet kelas dunia serta integrasi persekitaran hijau yang luas. Melbourne unggul dari segi kemudahan perubatan, kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa dan penganjuran acara sukan global.
Adelaide menawarkan kos sara hidup yang lebih berpatutan dan mesra bajet dari Melbourne. Warganegara atau penduduk tetap dilindungi oleh Medicare (subsidi di hospital awam). Manakala yuran sekolah antarabangsa dan universiti bagi pelajar asing tergolong antara yang mahal.
4. Sydney, Australia (Skor: 96.6%)
Sydney memikat dunia dengan gabungan gaya hidup metropolis moden dan keindahan semula jadi ikonik seperti Pelabuhan Sydney dan Pantai Bondi. Kualiti udara yang sangat bersih, keselamatan awam yang terjamin serta kepelbagaian kulinari antarabangsa menjadikannya antara bandar paling dinamik di Oceania.
Sydney adalah yang termahal di Australia (terutamanya kos sewa dan hartanah) diikuti Melbourne.
5. Zurich, Switzerland (Skor: 96.3%)
Dikenali sebagai pusat kewangan antarabangsa, Zurich menawarkan kualiti hidup paling premium dengan kebersihan persekitaran yang tiada tandingan. Terletak di tepi Tasik Zurich dengan latar belakang Banjaran Alps, bandar ini cemerlang dari segi kecekapan infrastruktur, kualiti air dan udara serta kestabilan ekonomi.
Zurich dan Geneva konsisten berada di tangga teratas sebagai bandar paling mahal di dunia. Sewa rumah, barangan dapur dan perkhidmatan tergolong pada harga premium. Tidak mustahil, Switzerland menjadi kegilaan ramai terutama di kalangan kaki travel dari seluruh negara.

6. Geneva, Switzerland (Skor: 95.7%)
Sebagai pusat diplomasi dan pertubuhan antarabangsa, Geneva menawarkan persekitaran yang sangat kondusif, inklusif dan selamat. Keistimewaan bandar ini merangkumi perkhidmatan kesihatan bertaraf tertinggi di dunia, persekitaran multinasional yang mesra pelancong dan pemandangan tasik yang menakjubkan.
Menggunakan sistem insurans kesihatan swasta wajib (LAMal). Tiada penjagaan kesihatan yang percuma sepenuhnya. Disebabkan itu, premium insurans bulanan adalah agak mahal. Sekolah awam tempatan percuma dan bertaraf tinggi. Manakala sekolah antarabangsa (international/private schools) adalah antara yang termahal di Eropah.
7. Osaka, Japan (Skor: 95.3%)
Dikenali sebagai ‘Dapur Jepun’, Osaka menjadi wakil tertinggi Asia disebabkan oleh kadar keselamatan yang sangat tinggi, rangkaian kereta api yang amat tepat waktu dan budaya kulinari jalanan yang terlalu istimewa. Sifat ramah penduduk tempatan menjadikannya destinasi yang paling mesra pelawat antarabangsa.
Tahukah anda, kadar sewa rumah di Osaka sekitar 10–15% lebih murah berbanding Tokyo. Walau bagaimanapun, disebabkan susut nilai mata wang Yen beberapa tahun kebelakangan ini, kos keperluan harian (makanan & barangan asas) agak berpatutan untuk ekspatriat atau pun pelancong.
8. Adelaide, Australia (Skor: 95.0%)
Kelebihan utama Adelaide adalah persekitarannya yang damai dan kurang padat berbanding bandar besar lain. Bandar ini menawarkan kos sara hidup yang lebih berpatutan, akses mudah ke pantai yang indah serta kawasan perladangan dan lembah hijau yang menenangkan.
Adelaide ialah ibu negeri Australia Selatan yang terkenal sebagai ‘Bandar Raya 20 minit’ yang mana anda boleh pergi ke mana-mana sahaja di dalam bandar ini dalam masa 20 minit perjalanan. Jika anda ke sini, jangan lupa singgah kawasan ladang anggur bertaraf dunia di sekitarnya.
9. Vancouver, Canada (Skor: 94.8%)
Terletak di antara Lautan Pasifik dan Banjaran Gunung North Shore, Vancouver merupakan syurga bagi pencinta aktiviti luar. Tanggungjawab pemeliharaan alam sekitar yang ketat, kepelbagaian budaya yang inklusif serta gaya hidup sihat menjadikannya bandar paling layak dihuni di Amerika Utara.
Vancouver merupakan antara bandar termahal di Kanada, terutamanya disebabkan krisis harga pasaran hartanah dan sewa rumah yang tinggi. Perkhidmatan kesihatan asas dilindungi di bawah sistem penjagaan awam (Medical Services Plan – MSP) untuk penduduk tempatan.

10. Tokyo, Japan (Skor: 94.5%)
Ibu negara Jepun ini terus mengagumkan dunia kerana mampu menguruskan populasi yang padat dengan tahap kebersihan, disiplin dan keselamatan yang luar biasa. Tokyo cemerlang dengan kualiti pengangkutan awam yang termaju di dunia, gabungan tradisi kuno dan teknologi moden serta syurga kulinari bertaraf bintang Michelin.
Tokyo tergolong dalam bandar besar yang relatif mahal untuk sewa rumah bersaiz kecil. Bagi peminat anime, daerah Akihabara terkenal sebagai syurga barangan anime dan permainan manakala Harajuku menjadi pusat fesyen unik remaja. Paling mengagumkan sifat penduduk tempatan yang sangat berdisiplin, sopan dan mementingkan kebersihan awam.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, senarai bandar paling layak dihuni pada tahun 2026 ini menunjukkan bahawa kemajuan sesebuah bandar raya kini sangat bergantung kepada keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar, kecekapan fasiliti moden dan keselamatan masyarakat. Menjelajah bandar-bandar ini bukan sahaja memberikan pengalaman melancong yang menakjubkan, bahkan memberi inspirasi tentang kualiti kehidupan bertaraf dunia.
Tiada komen lagi.