Setiap kali menjejakkan kaki ke lapangan terbang di luar negara, perasaan teruja untuk bercuti pastinya membara. Tangan mula gatal nak merakam setiap momen daripada langkah pertama turun dari pesawat, suasana balai ketibaan hinggalah ke barisan imigresen untuk dijadikan kenangan di rakaman Story atau Reels.
Namun, tahukah anda bahawa satu keping gambar atau video pendek di kawasan imigresen mampu memusnahkan keseluruhan percutian anda dalam sekelip mata?
Walaupun papan tanda DILARANG MENGAMBIL GAMBAR / NO PHOTOGRAPHY dipasang megah dan jelas di segenap sudut, masih ramai pelancong yang bersikap degil, acuh tak acuh atau memberi alasan biasa: “Tak perasan” atau “Nak ambil gambar kenangan sahaja.”
Di kawasan kawalan keselamatan ketat seperti imigresen dan kastam, alasan tidak tahu tidak lagi terpakai.
Mengapa Kawasan Imigresen Lapangan Terbang Begitu Ketat?
Undang-undang larangan merakam gambar dan video di kawalan sempadan bukanlah rekaan sesebuah negara sahaja, malah ia adalah piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa yang diguna pakai di seluruh dunia.
Berikut adalah sebab utama mengapa kawasan ini sangat sensitif:
- Kawasan Kawalan Keselamatan Tinggi (High-Security Zone): Imigresen ialah garisan pertahanan utama sesebuah negara. Sebarang rakaman visual mendedahkan kedudukan CCTV, laluan keselamatan, kedudukan pos kawalan dan strategi kawalan anggota bertugas.
- Perlindungan Data & Kerahsiaan: Skrin komputer di kaunter memaparkan data peribadi pelawat lain, maklumat pasport, status visa dan maklumat risikan keselamatan. Merakam gambar berisiko mendedahkan maklumat sensitif ini.
- Mengganggu Kelancaran Operasi: Tindakan sibuk ber-selfie atau merakam kandungan media sosial memperlahankan aliran barisan dan mengganggu tumpuan pegawai imigresen yang sedang menjalankan pemeriksaan ketat.
Padah ‘Degil’: Antara Hukuman & Tindakan Boleh Dikenakan
Jika anda menyangka tindakan melanggar arahan ini sekadar diberi teguran mesra sahaja, anda silap besar. Budi bicara pegawai imigresen adalah mutlak. Bergantung kepada undang-undang negara berkenaan, berikut adalah antara hukuman yang menanti pelancong yang tidak berdisiplin:
1. Gambar & Video Dipadam Serta-merta
Tindakan paling ‘ringan’ yang boleh dikenakan. Pegawai akan menghentikan proses pemeriksaan anda, memeriksa telefon bimbit dan mengarahkan anda memadam gambar atau video tersebut di hadapan mereka termasuk memadamnya daripada folder Recently Deleted.
2. Ditahan di Bilik Siasatan
Anda boleh ditarik keluar daripada barisan dan dibawa ke bilik khas untuk disoal siasat. Telefon anda mungkin dirampas sementara untuk diperiksa secara menyeluruh. Proses ini boleh memakan masa bertam-jam hingga menyebabkan anda ketinggalan penerbangan sambungan atau pengangkutan rombongan. Jika anda meyertai open trip dengan travel agency, perkara ini pastinya menimbulkan rasa kurang selesa oleh peserta lain.
3. Dikenakan Denda Kewangan yang Tinggi
Sesetengah negara menganggap pelanggaran ini sebagai kesalahan undang-undang serius yang boleh dikenakan denda serta-merta. Pelancong terpaksa membayar sejumlah wang yang besar sebelum dibebaskan.
4. Diperintah Menulis Surat Permohonan Maaf Rasmi
Di sesetengah pintu masuk sempadan, pelawat yang melanggar arahan perlu melalui proses pentadbiran yang rumit, termasuk menulis akuan kesalahan dan permohonan maaf rasmi kepada pihak berkuasa keselamatan sebelum dipertimbangkan untuk masuk.
5. Ditolak Kemasukan & Dihantar Pulang (Deported / Not To Land)
Ini adalah hukuman paling memusnahkan percutian anda. Pihak imigresen berhak membatalkan kemasukan anda ke negara mereka serta-merta (Not To Land). Anda akan dihantar pulang ke negara asal menggunakan penerbangan terdekat dengan kos sendiri tanpa sempat melangkah keluar dari lapangan terbang!
6. Senarai Hitam (Blacklisted)
Dalam kes paling tragis (terutamanya jika pelawat menunjukkan sikap biadab atau enggan bekerjasama apabila ditegur), nama anda boleh dimasukkan ke dalam senarai hitam dan dilarang memasuki negara berkenaan untuk tempoh beberapa tahun.
Etika & Pesanan Mesra Buat Semua Traveller
Kita bercuti semestinya untuk mencari ketenangan dan mencipta kenangan indah, bukannya masalah undang-undang. Amalkan langkah keselamatan mudah ini setiap kali tiba di lapangan terbang:
- Simpan Telefon Bimbit: Sebaik sahaja melangkah ke balai ketibaan atau pelepasan berhampiran kaunter imigresen, simpan telefon di dalam beg atau poket.
- Peka Arahan Papan Tanda & Petugas: Sentiasa perhatikan papan tanda larangan di sekeliling anda dan dengar arahan pegawai atau Tour Leader anda.
- Tunggu Sehinggalah Melepasi Kastam: Sabar sekejap! Luar dari pintu pelepasan/ketibaan utama lapangan terbang kelak, ambillah sebanyak mana gambar dan video yang anda mahukan.
Ingat, peraturan dicipta untuk keselamatan bersama. Jangan biarkan sikap acuh tak acuh dan secebis kehendak muat naik di media sosial merosakkan percutian yang telah anda rancang dan bayar beribu ringgit!









Tiada komen lagi.