Membuat keputusan untuk melancong ke luar negara sememangnya mengujakan. Dapat melihat budaya orang, menikmati keindahan alam dan sudah tentu bergambar untuk kenangan di media sosial. Namun, dalam keghairahan meneroka bumi asing, kadangkala ada perbuatan kita sama ada disengajakan atau pun tidak, boleh mencemarkan imej diri, malah imej negara!
Berikut adalah beberapa kesilapan yang kerap berlaku dalam kalangan pelancong Malaysia apabila berada di luar negara yang wajar kita jadikan ikhtibar:
1. Menjerit dan Bising di Tempat Awam
Baru-baru ini, tular isu membabitkan pelancong Malaysia yang membuat bising dan meninggikan suara di kawasan awam di China. Hakikatnya, sesetengah negara amat mementingkan ketenteraman awam. Walaupun penduduk tempatan tidak memahami apa yang anda katakan, namun mereka boleh membaca body language anda.
Walaupun mungkin niat kita sekadar teruja atau berborak mesra sesama rakan, nada suara yang terlalu tinggi di tempat awam dianggap sebagai kurang sopan dan tidak menghormati budaya tempatan.
2. Memasak di Dalam Bilik Hotel
Isu seorang influencer dari Malaysia yang memasak di dalam bilik hotel di Jerman baru-baru ini telah membuka mata ramai pihak. Ramai yang mengambil jalan mudah memasak menggunakan periuk elektrik khas (travel cooker) di dalam bilik untuk berjimat atau memastikan makanan itu halal.
Namun, perbuatan ini sebenarnya melanggar peraturan kebanyakan hotel antarabangsa. Selain risiko kebakaran, bau masakan yang kuat (seperti sambal, tumisan atau ikan asin) boleh melekat pada langsir, permaidani dan tilam, sekali gus menyusahkan pihak hotel dan tetamu seterusnya.
Anda juga berisiko dikenakan tindakan termasuk bayaran denda jika didapati bersalah. Jika ingin memasak, carilah penginapan jenis apartment atau guesthouse yang menyediakan ruang dapur khas. Hormati peraturan hotel demi keselamatan dan keselesaan bersama.
3. Aksi Berlebihan dan ‘Gila Konten’ di Tempat Suci
Trend mencipta kandungan (content) di media sosial kadang-kala membuatkan sesetengah pelancong hilang pertimbangan. Antara contoh yang pernah tular adalah aksi seni silat atau aksi yang kurang sesuai betul-betul di hadapan Kaabah ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Sama ada masjid, tempat suci umat Islam atau mana-mana tempat sembahyang agama lain, anda harus dihormati dengan penuh adab dan kerendahan hati. Menjadikannya sebagai pentas untuk content gimik bukan sahaja menjejaskan fokus ibadah, malah dianggap biadab oleh masyarakat tempatan dan umat Islam yang lain.
Mungkin anda rasa mahukan kelainan, FOMO atau mahu mendapatkan perhatian di tempat tersebut namun kena tahu hakikatnya, tak semua tempat sesuai untuk dibuat content.
4. Berpakaian Tidak Sesuai dengan Budaya Tempatan
Thailand sering dianggap sebagai destinasi santai untuk percutian. Namun, bercuti di negara jiran tersebut tidak bermakna kita boleh berpakaian sesuka hati tanpa mengira lokasi. Ada pelancong yang memilih pakaian yang agak menjolok mata atau terlalu terdedah ketika mengunjungi tempat-tempat tumpuan, termasuk kawasan kuil (temple) atau pekan warisan.
Di Thailand dan kebanyakan negara Asia Tenggara, tempat-tempat keagamaan dan kebudayaan mempunyai etika berpakaian yang ketat. Berpakaian terlampau seksi di tempat yang tidak sesuai boleh dianggap sebagai tidak menghormati sensitiviti penduduk tempatan.
Lakukan sedikit kajian tentang etika berpakaian di destinasi pilihan anda. Sentiasa sediakan kain selendang atau cardigan nipis dalam beg jika merancang untuk melawat tempat-tempat bersejarah atau keagamaan.
5. Membawa Trip Kumpulan Tanpa Local Tour Guide (Pemandu Pelancong Bertauliah)
Satu lagi isu serius yang semakin kerap berlaku adalah tindakan penganjur trip dari Malaysia yang membawa rombongan pelancong ke luar negara tanpa melantik local tour guide bertauliah dari negara berkenaan. Selalunya, penganjur berbuat demikian bagi mengurangkan kos operasi.
Namun, di kebanyakan negara seperti Thailand, Indonesia, Turkey, Jepun dan negara-negara Eropah, undang-undang pelancongan mereka amat ketat. Sebarang aktiviti memberi penerangan, memimpin kumpulan, membawa kenderaan persendirian atau menguruskan rombongan di tempat awam/bersejarah tanpa lesen pemandu pelancong tempatan yang sah adalah satu kesalahan jenayah.
Jika ditangkap atau dilaporkan oleh persatuan pemandu pelancong tempatan atau mana-mana individu, penganjur boleh dikenakan denda yang tinggi, ditahan pihak berkuasa, disenaraihitamkan, malah rombongan percutian tersebut boleh dibatalkan serta-merta dan dikehendaki untuk pulang ke negara dalam kadar segera.
Masuk Kandang Kambing Mengembek, Masuk Kandang Kerbau Menguak
Melancong bukan sekadar tentang gambar yang cantik atau percutian yang murah tetapi ia juga tentang menghormati kepelbagaian budaya dan peraturan setempat.
Sebagai pelancong dari Malaysia, setiap tindak-tanduk kita di luar negara secara tidak langsung mencerminkan keperibadian rakyat Malaysia. Mari kita bersama-sama menjadi duta kecil yang berbudi bahasa, beradab dan sentiasa menjaga imej negara di mata dunia.









Tiada komen lagi.