Apabila membayangkan Filipina, minda kita sering menerawang ke pantai berpasir putih di Boracay, batu karang menakjubkan di El Nido atau kerancakan pusat beli-belah di kawasan elit Bonifacio Global City (BGC), Manila.
Namun, bagi seorang pelancong yang ingin memahami sesebuah negara dengan lebih mendalam, ada satu realiti pahit yang jarang terpapar di dalam brosur pelancongan iaitu kehidupan di kawasan setinggan (slum areas) yang menyaksikan tradisi kelangsungan hidup luar biasa dikenali sebagai Pagpag.
Pendedahan kisah tragis ini didedahkan secara realiti oleh Youtuber terkenal yang dikenali sebagai Sonny Side melalui program Best Ever Food Review Show.
Apakah Itu Pagpag dan Monomono?
Di dalam bahasa Tagalog, pagpag bermaksud mengibas habuk atau kotoran. Namun bagi ribuan penduduk miskin tegar, ia merujuk kepada makanan sisa khususnya daging dan ayam goreng sisa pelanggan dari tong sampah restoran makanan segera yang digali semula, dibersihkan, dimasak semula dan dimakan beramai-ramai.
Setiap malam, ketika lampu bandar mula malap, pemungut sampah akan menggali sisa makanan di tong sampah besar. Daging yang dipungut akan diasingkan, dibasuh dengan air suam untuk membuang kotoran fizikal dan dimasak semula bersama rempah ratus seperti bawang, kicap atau cili untuk dijadikan hidangan baharu seperti adobo atau kaldereta. Makanan ini kemudiannya dijual pada harga serendah 20 hingga 30 peso (sekitar RM1.50 hingga RM2.50) kepada keluarga yang tidak mampu membeli bahan mentah segar.
Berbeza dengan Pagpag, Monomono berasal daripada sisa daging yang digunakan oleh hotel-hotel besar untuk membuat stok kuah atau sup. Daging ini tidak pernah menyentuh tong sampah tetapi telah hilang semua rasanya. Peniaga tempatan membeli sisa daging ini secara sah, memerapnya dengan kicap, cuka, cili dan perasa, lalu menggorengnya sehingga garing untuk dijual sebagai hidangan yang berprotein dan murah.

Di Manakah Kawasan Ini?
Fenomena ini paling ketara berlaku di kawasan pinggiran dan setinggan terpadat di Metro Manila, terutamanya:
Tondo, Manila: Khususnya di kawasan yang dikenali sebagai Happy Land, Aroma dan Building 105. Tondo merupakan salah satu kawasan paling padat di dunia yang mana ribuan keluarga tinggal di celah-celah timbunan sampah dan lorong sempit.
Payatas, Quezon City: Kawasan yang terkenal dengan tapak pelupusan sampah besar yang mana sebahagian besar komuniti bergantung hidup kepada aktiviti memungut sampah.
Baseco Compound: Sebuah kawasan setinggan di pesisir pelabuhan Manila yang mengalami kadar kemiskinan dan ketiadaan kemudahan asas yang kronik.
Penyediaan Makanan Cara Mereka
Setiap pagi, guni-guni sampah yang mengandungi sisa makanan dari restoran besar dibawa ke sini. Para pemungut sampah akan memilah sisa-sisa ini secara manual di bawah terik matahari Manila:
Pengasingan Mutu: Makanan yang terlalu basah, berbau atau jelas telah basi akan dibuang.
Sisa Edible: Potongan makanan yang telah separuh dimakan akan diasingkan untuk dijual kepada peniaga tempatan.
Mengapa Realiti Ini Penting Buat Pelancong?
Sebagai pelancong, mudah untuk kita terbuai dengan keindahan alam atau keramahan rakyat Filipina yang terkenal dengan senyuman mesra. Namun, menyaksikan atau memahami kewujudan pagpag dan monomono memberi kita julat perspektif yang berbeza tentang jurang ekonomi yang amat ketara di negara tersebut. Ia adalah peringatan bahawa di sebalik kepesatan ekonomi dan kemewahan kawasan bandar moden, terdapat jurang kemiskinan tegar yang memaksa manusia mempertaruhkan kesihatan demi sesuap nasi.
Pihak berkuasa kesihatan sentiasa memberi amaran tentang bahaya pagpag daripada keracunan makanan hingga jangkitan bakteria serius seperti tifoid, kolera dan Hepatitis A. Namun, bagi komuniti di Tondo, pagpag bukanlah pilihan, melainkan satu-satunya cara untuk kelangsungan hidup.
Mengembara dengan Empati dan Kesedaran
Pendedahan ini bukannya bertujuan untuk menakut-nakutkan pelancong atau memburukkan imej Filipina, sebaliknya menggalakkan pelancongan bertanggungjawab (responsible tourism).
Apabila anda melawat Manila atau kawasan sekitarnya, pertimbangkan untuk menyokong badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang berusaha menyalurkan makanan bersih dan pendidikan kepada kanak-kanak di Tondo. Dengan cara ini, perjalanan kita bukan sekadar mengumpul kenangan manis tetapi turut memberi impak positif kepada komuniti tempatan.









Tiada komen lagi.