Sudah memasuki bulan Julai, pastinya ibu bapa sudah mula merancang percutian bersama anak-anak untuk cuti akhir penggal Disember nanti. Sama ada dalam mahu pun luar negara, memang cuti panjang adalah penantian buat ramai pengembara terutama yang memiliki anak masih bersekolah. Cuma, anda perlu berhati-hati memilih destinasi.
Berdasarkan data bencana alam yang melanda sepanjang tahun 2025 (termasuk impak besar daripada Siklon Senyar pada akhir tahun 2025), berikut adalah senarai destinasi dan negara yang berisiko tinggi serta sebaiknya dielakkan untuk percutian sekolah Disember 2026.
Siklon dan Monsun Timur Laut yang luar biasa telah mengubah corak cuaca wilayah ini, menyebabkan kawasan yang dahulunya dianggap selamat turut terjejas teruk.
1. Selatan Thailand (Songkhla & Hat Yai)
-
Peristiwa 2025: Hat Yai yang selama ini dianggap bandar ‘kebal banjir’ telah dilanda banjir lumpur terburuk dalam tempoh 300 tahun akibat taburan hujan luar biasa (630mm dalam masa 72 jam). Lebih 80% premis perniagaan dan hotel di pusat bandar ditenggelami air sehingga paras 2.5 meter, melumpuhkan terus sektor pelancongan akhir tahun. Ramai pelancong terkandas terutama rakyat Malaysia sehingga ada di antara mereka yang terpaksa memohon bantuan kecemasan kerana faktor kesihatan dan sebagainya.
-
Umum mengetahui bulan Disember merupakan puncak Monsun Timur Laut di pantai timur semenanjung Thailand dan juga Malaysia. Proses pemulihan infrastruktur saliran Hat Yai masih berjalan dan risiko banjir kilat berulang adalah sangat tinggi. Jika anda mahu ke Thailand juga, anda boleh memilih kawasan Utara Thailand (Chiang Mai & Chiang Rai) untuk melawat festival bunga, perkampungan tanah tinggi, kuil bersejarah (Wat Rong Khun) dan menikmati pasar malam dalam cuaca sejuk sekitar 15°C.
2. Indonesia (Sumatera & Jakarta)
-
Peristiwa 2025: Impak Siklon Senyar pada penghujung tahun 2025 mencatatkan rekod bencana paling buruk di Sumatera. Wilayah Aceh, Sumatera Utara (Medan),dan Sumatera Barat (Padang) dilanda tanah runtuh serta banjir lumpur dahsyat yang mengorbankan lebih 1,200 nyawa dan memusnahkan ratusan jambatan serta laluan perhubungan utama. Sementara itu, Jakarta turut lumpuh akibat banjir struktur bermusim yang menenggelami kawasan kediaman dan jalan-jalan utama termasuk jalan menghala ke lapangan terbang.
-
Tahukah anda, Disember adalah waktu bermulanya musim Monsun Barat di Indonesia yang membawa hujan lebat berterusan. Laluan darat di kawasan berbukit sekitar Padang (seperti ke Bukittinggi) masih tidak stabil dan terdedah kepada landslide baharu.
- Lombok dan Kepulauan Gili menerima taburan hujan yang jauh lebih sedikit berbanding wilayah Sumatera atau Jawa pada bulan Disember. Anda boleh bersantai di Pantai Kuta Lombok, menikmati pemandangan di Bukit Merese atau menyeberang ke Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air untuk aktiviti berbasikal keliling pulau dan snorkeling.
3. Jepun (Hokkaido – Sapporo & Kushiro)
-
Peristiwa 2025: Pada pertengahan Disember, Hokkaido dilanda ribut salji ekstrem berikutan sistem tekanan udara rendah yang mendadak. Salji tebal melebihi 50cm turun dalam masa 24 jam menyebabkan lebih 100 perkhidmatan keretapi digantung, ratusan penerbangan di Lapangan Terbang New Chitose dibatalkan dan menyebabkan kejadian maut serta gangguan bekalan elektrik kepada 35,000 isi rumah.
-
Trend Yukidoke atau perubahan cuaca ekstrem kesan pemanasan global menjadikan ribut salji di utara Jepun semakin sukar diramal dan lebih ganas. Melancong ke Hokkaido pada awal musim sejuk (Disember) kini mempunyai risiko tinggi terperangkap di lapangan terbang atau stesen keretapi akibat sistem pengangkutan yang lumpuh.
- Berbanding Hokkaido di utara yang kerap dilanda ribut salji ekstrem, wilayah Kanto (Tokyo) pada bulan Disember biasanya mencatatkan cuaca yang sangat cerah, kering dan clear skies. Anda boleh menikmati hiasan lampu musim sejuk (Winter Illuminations) yang gah di sekitar Shibuya dan Roppongi, melawat Tokyo Disneyland serta melihat pemandangan Gunung Fuji yang sangat jelas dari Tokyo Skytree.
4. Vietnam (Da Nang & Hoi An)
- Wilayah tengah Vietnam termasuk laluan antara Da Nang dan Hoi An telah dilanda banjir serta hujan lebat luar biasa pada Oktober dan November 2025. Bencana yang berpunca daripada taufan dan Monsun Timur Laut ini menyebabkan banyak jalan terputus, pemindahan beramai-ramai dan kerosakan teruk terutamanya di sekitar Hoi An. Banjir kilat di pekan warisan Hoi An menyebabkan air memasuki premis kedai lama, manakala ombak besar di Da Nang menyukarkan aktiviti pantai.
- Laluan ribut di Lautan Pasifik Barat sering menghala tepat ke pesisir pantai Vietnam antara Oktober hingga Disember. Jika anda mahu melawat Vietnam pada cuti sekolah Disember 2026, pilihlah laluan Vietnam Utara (Hanoi – Halong Bay – Ninh Binh) kerana kemungkinan bebas dari risiko banjir besar.
Kesimpulannya, cari destinasi yang anda yakin selamat. Lihat semula peristiwa-peristiwa bencana alam yang pernah berlaku sebelum ini untuk dijadikan sebagai penyebab utama pemilihan destinasi. Bencana alam amat sukar untuk diramal. Jadinya, setiap kali percutian sila sediakan pelan kecemasan seperti memberitahu pihak kedutaan, membawa barangan keperluan dalam beg dan juga meneliti kawasan sekitar penginapan sebelum membuat tempahan.
Tiada komen lagi.