Heboh di sosial media baru-baru ini yang mana seorang pengguna Long Term Car Park (LTCP) KLIA meluahkan rasa terkejut dan tidak puas hati apabila dikenakan caj parkir hampir RM400 untuk tempoh 12 hari.
Bagi mereka yang sudah biasa menggunakan LTCP, perubahan mengejut ini memang terasa membebankan. Namun, ada beberapa fakta penting dan salah faham yang perlu dijelaskan tentang situasi yang berlaku.
Pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjelaskan bahawa ini bukanlah kenaikan tarif baharu secara mendadak, sebaliknya ia berlaku kerana tempoh promosi kadar murah sebelum ini telah pun berakhir pada Februari 2026.
Kadar siling maksimum harian LTCP kini ditetapkkan pada RM32 sehari (naik sedikit daripada kadar sebelum ini iaitu RM27 sehari).
Isu Sistem Kalkulator Online Mengelirukan
Sebab utama kenapa ramai pelancong ‘terkena’ adalah disebabkan isu teknikal pada sistem MAHB sendiri. Ketika pengguna membuat semakan di kalkulator anggaran parkir di laman web rasmi, sistem tersebut belum dikemas kini dan masih memaparkan anggaran harga promosi yang terdahulu.
Apabila mereka pulang dari percutian dan mahu membayar di palang keluar, barulah sistem memaparkan harga sebenar yang mencetuskan kemarahan ramai kerana tiada notis awal yang jelas di media sosial rasmi.

Caj parkir di KLIA jika anda buat tempahan awal di laman web www.malaysiaairports.com.my
Tips Penting untuk Pengguna KLIA & Agensi Pelancongan
Memandangkan isu ini memberi kesan langsung kepada kos perjalanan, berikut adalah langkah alternatif yang boleh diambil untuk mengelakkan ‘kejutan’ di kaunter parkir:
-
Tempahan Awal (Online Booking): Seperti yang anda lihat di laman web, MAHB kini lebih menggalakkan sistem pre-booking. Membaca terma dengan teliti dan membuat tempahan slot lebih awal secara dalam talian biasanya menawarkan diskaun berbanding terus redah (walk-in). Anda boleh mendapat diskaun sehingga 40% dan harga yang dikenakan juga lebih berbaloi untuk meletakkan kenderaan bagi tempoh yang lama (4 hari atau 7 hari)
-
Gunakan Alternatif Park & Ride: Jika mahu kos yang jauh lebih murah dan tetap untuk tempoh melebihi seminggu, alternatif terbaik adalah meletakkan kenderaan di stesen KLIA Transit Salak Tinggi (sekitar RM8 sehari untuk parkir bermalam) atau Putrajaya Sentral (sekitar RM12 sehari), kemudian hanya perlu naik tren satu atau dua stesen sahaja untuk sampai ke terminal.
- Individu: Ramai penduduk sekitar KLIA mengambil kesempatan isu ini dengan menawarkan khidmat parkir di laman kediaman mereka atau pun di kawasan lapang yang bersesuaian dengan kadar harga yang murah.
Contohnya, parkir berbumbung (RM7 sehari), tak berbumbung (RM5 sehari) manakala penghantaran ke KLIA 1/2 (trip shuttle RM45 ). Pengangkutan yang disediakan juga beroperasi 24 jam setiap hari untuk pergi dan balik.
- Letak Bagasi di KL Sentral: Sistem ini dinamakan In-Town Flight Check-In & Bag Drop di Kuala Lumpur City Air Terminal (KL CAT), yang terletak di dalam KL Sentral. Kaedah ini memang bertaraf VIP dengan kos yang jauh lebih berbaloi. Buat urusan daftar masuk, scan kod QR dan terus drop bagasi di kaunter khas yang disediakan. Selepas itu, anda hanya perlu naik tren KLIA Ekspres atau KLIA Transit dengan hanya menggalas backpack. Buat masa ini, fasiliti luggage drop sepenuhnya di KL Sentral ini dibuka secara eksklusif untuk penumpang domestik dan antarabangsa bagi syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan Batik Air sahaja.
Tiada komen lagi.