Bayangkan anda berada di sebuah pekan kecil di luar bandar Jepun, dikelilingi keindahan seni bina kayu dan ketenangan alam, namun hati mula diselubungi kegelisahan apabila jarum jam menghampiri waktu solat. Bagi pengembara Muslim, senario ini adalah cabaran lazim yang sering dihadapi setiap kali melangkah ke destinasi bukan Islam.
Namun, di wilayah Okayama, naratif ini mula berubah. Sebuah syarikat tempatan, OM Kiki Co., yang berpangkalan di Soja telah memperkenalkan satu inovasi yang bukan sekadar sebuah produk tetapi jambatan budaya: Prayer Space.
Inovasi Dari Hati Seorang Sahabat
Menurut laopran The Japan News, Produk bilik solat kompak ini lahir dari satu pengalaman peribadi yang menyentuh hati. Pembangun produk tersebut tergerak hati untuk mencipta ruang ini selepas melihat kesukaran yang dihadapi oleh rakan baiknya, seorang Muslim dari Malaysia, ketika mereka mengembara bersama di wilayah tersebut.
“Ketersediaan ruang solat boleh menjadi faktor paling penting dalam memilih destinasi pelancongan,” ujar pembangun tersebut.
Struktur kayu setinggi 180 sentimeter ini direka dengan teliti. Ia dilengkapi dengan penanda kiblat yang boleh dilaraskan serta lantai kalis air bagi memudahkan urusan wuduk. Satu perincian yang sering terlepas pandang oleh pihak hotel atau premis perniagaan sebelum ini.

Solat, Kewajipan Tanpa Sempadan
Di sebalik kecanggihan teknologi dan kemudahan yang ditawarkan, kewujudan Prayer Space ini membawa satu pesanan mendalam kepada setiap pengembara Muslim: Sejauh mana pun kita mengembara, tanggungjawab kepada Pencipta tetap menjadi keutamaan.
Dalam dunia pelancongan yang serba pantas, ada kalanya kita terleka mengejar waktu untuk ke destinasi seterusnya sehingga mengabaikan rukun Islam yang paling utama. Namun, mengembara sebenarnya adalah proses melihat kebesaran Allah. Justeru, meninggalkan solat ketika bermusafir adalah satu kerugian besar.
Islam telah memberikan kelonggaran melalui jamak dan qasar, namun kewajipan itu sendiri tidak pernah gugur. Dengan adanya inisiatif seperti di Okayama ini, alasan sukar mencari tempat untuk solat tidak lagi relevan. Ia merupakan satu peringatan bahawa di mana-mana sahaja kita berpijak, bumi ini adalah hamparan sejadah milik Allah.
Anjakan Paradigma Pelancongan Inklusif
Satu tinjauan ke atas pelancong Muslim di Jepun mendedahkan statistik yang signifikan; kira-kira 72% lelaki dan 79% wanita meletakkan ketersediaan tempat ibadah sebagai kriteria utama dalam merancang perjalanan mereka.
Langkah syarikat OM Kiki Co. ini bukan sahaja membantu menaikkan imej Okayama sebagai destinasi mesra Muslim, malah ia menetapkan satu standard baharu dalam industri pelancongan global. Ia membuktikan bahawa sikap saling menghormati antara agama boleh dizahirkan melalui inovasi praktikal.
Pulang dengan Jiwa yang Terisi
Melihat usaha komuniti tempatan di Jepun menyediakan ruang untuk tetamu mereka beribadah seharusnya mencabar kita sebagai pengembara untuk lebih istiqamah. Perjalanan yang sempurna bukanlah hanya tentang jumlah pasport stamp atau kepingan gambar yang cantik tetapi sejauh mana perjalanan itu mendekatkan diri kita kepada-Nya.
Tiada komen lagi.