Bila sebut pasal travel ke luar negara, perkara pertama yang muncul dalam fikiran mestilah tiket penerbangan murah, baju OOTD dan senarai tempat makan menarik. Apatah lagi sebagai rakyat Malaysia, kita agak bertuah sebab pasport merah kita antara yang paling ‘berkuasa’ di dunia yang membolehkan kita masuk ke lebih 180 buah negara tanpa visa!
Tapi tunggu dulu. Bagaimana pula dengan negara yang wajibkan permohonan visa seperti Arab Saudi, India, China, Australia atau Amerika Syarikat?
Walaupun proses permohonan visa sekarang nampak mudah dan banyak yang boleh dibuat secara dalam talian namun masih ramai pelancong kita yang gigit jari terpaksa burned tiket penerbangan disebabkan perkara-perkara kecil yang terlepas pandang.
Sebelum anda tekan butang book untuk percutian seterusnya, pastikan anda semak lima syarat wajib dan ‘perangkap’ permohonan visa yang kerap orang lupa ini!
1. Tempoh Sah Laku Pasport Kurang 6 Bulan
Ini kesalahan cliche yang paling kerap berlaku. Anda mungkin fikir, “Pasport saya ada lagi 5 bulan sebelum ‘expired’, mesti lepas punya!”
Hakikatnya: Kebanyakan kedutaan dan syarikat penerbangan menetapkan syarat ketat yang mana pasport anda wajib mempunyai tempoh sah laku sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh anda dijangka pulang atau tiba di negara destinasi. Jika kurang dari 6 bulan, bukan sahaja visa anda boleh ditolak, malah anda boleh dihalang dari mendaftar masuk di lapangan terbang lagi.
2. Tamat Tempoh / Tukar Pasport Selepas Visa Diluluskan
Ramai yang tidak sedar bahawa visa elektronik (e-Visa atau ETA) dipautkan secara digital terus ke nombor pasport anda.
Jika anda memohon e-Visa menggunakan pasport lama, kemudian anda memperbaharui pasport tersebut sebelum berlepas, e-Visa lama anda secara automatik tidak lagi sah untuk pasport baharu (terutamanya bagi negara seperti Australia atau India).
Tips Penting: Jika anda baru renew pasport, pastikan anda mengemaskini butiran nombor pasport baharu dalam sistem kelulusan visa tersebut atau mohon semula e-Visa baharu sebelum ke lapangan terbang. Sebaiknya bawa kedua-dua pasport semasa travel nanti.
3. Tersangkut Sekatan Imigresen (Blacklist)
Anda dah siap mohon visa, dah beli tiket flight beribu ringgit tapi bila sampai kat pagar imigresen Malaysia, nama anda tersenarai dalam sekatan keluar negara. Mungkin anda rasa semua dah okay tapi rupanya tidak!
Sama ada disebabkan tunggakan cukai LHDN, pinjaman pendidikan (PTPTN), isu insolvensi/kebankrapan, hutang MARA atau perintah mahkamah. Sekatan ini akan menggagalkan terus percutian anda walaupun visa negara luar sudah diluluskan.
Tindakan Wajib: Sebelum mohon visa atau beli tiket, semak status anda di portal rasmi Semakan Status Kawalan Imigresen (SSPI) Jabatan Imigresen Malaysia dulu!
4. Baki Bank / Penyata Kewangan ‘Suam-Suam Kuku’
Bagi negara yang memerlukan visa pelekat (sticker visa) atau visa pelancong penuh seperti Korea Selatan (untuk jenis visa tertentu), US atau Zon Schengen, kedutaan ingin memastikan anda mempunyai kewangan yang kukuh untuk menampung penginapan dan tidak berniat untuk bekerja secara haram di sana.
Kesalahan ramai orang:
Mengemukakan penyata bank yang baru dimasukkan wang secara mendadak (lump sum) beberapa hari sebelum mohon visa.
Baki akaun yang terlalu sedikit dan tidak logik dengan tempoh hari percutian.
Kedutaan lebih menyukai penyata bank 3 hingga 6 bulan yang menunjukkan aliran kewangan yang stabil dan konsisten. Walaupun keperluan syarat ini adakalanya tidak ‘kena’ kepada sesetengah pelancong tetapi adalah sebaiknya anda membuat persiapan sebelum dikenakan sebarang tindakan.
5. Lupa Beli Takaful Perjalanan
Bagi sesetengah destinasi terutamanya negara-negara Zon Schengen (Eropah), takaful perubatan dan perjalanan adalah syarat wajib sebelum permohonan visa anda diproses. Takaful ini perlu mempunyai nilai perlindungan minimum tertentu (contohnya EUR 30,000 untuk Schengen) yang merangkumi kos rawatan kecemasan dan pemindahan perubatan.
Jangan sekadar beli takaful paling murah tanpa menyemak sama ada liputannya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kedutaan negara tersebut.
Kesimpulan: Sediakan Payung Sebelum Hujan!
Proses memohon visa sebenarnya tidak rumit jika anda berdisiplin dan membuat persediaan awal. Jangan tunggu seminggu sebelum berlepas baru nak menyemak syarat-syarat ini. Seelok-eloknya, mulakan proses permohonan visa sekurang-kurangnya 1 hingga 2 bulan sebelum tarikh penerbangan anda.
Rancang percutian anda dengan bijak, semak dokumen satu per satu dan selamat bercuti dengan tenang!









Tiada komen lagi.