Dua minggu cuti sekolah ni, sosial media penuh dengan memori keluarga bercuti dalam negara. Ada yang kena ‘sidai’ lama untuk check-in, ada yang terpaksa meredah lautan manusia di taman tema, begitu juga yang terpaksa hadap kesesakan lalu lintas luar biasa untuk pulang ke bandar.
Situasi ini menunjukkan kempen Visit Malaysia 2026 mendapat sambutan hangat. Tahukah anda, bagi Tahun Taksiran 2026, strategi penumpuan kepada industri pelancongan domestik dilihat mampu memberikan penjimatan besar kepada poket anda, di samping membantu merancakkan ekonomi negara.
Kerajaan telah menggariskan beberapa pelepasan cukai khusus yang sangat menguntungkan buat peminat aktiviti staycation, percutian keluarga, mahupun pencinta alam semula jadi.
Berikut adalah tiga tips dan panduan utama bagi memastikan perbelanjaan percutian anda melayakkan anda mendapat pelepasan cukai maksimum untuk Tahun Taksiran 2026:
- Simpan Resit Tiket Tarikan Pelancongan
Ramai yang tidak sedar bahawa perbelanjaan membawa keluarga beriadah boleh dituntut semula. Jika anda mengunjungi mana-mana lokasi berikut, pastikan resit pembelian tiket disimpan dengan rapi (sama ada resit fizikal atau e-resit):
- Taman Tema & Taman Air: Lokasi popular seperti Sunway Lagoon, Legoland Malaysia, dan Genting SkyWorlds.
- Taman Semula Jadi: Bayaran masuk ke Taman Negara atau pusat simpanan hutan simpan.
- Tapak Kebudayaan: Tiket masuk ke muzium, galeri seni dan tapak warisan yang berdaftar secara rasmi.
- Zoo & Akuarium: Aktiviti pendidikan keluarga seperti lawatan ke Zoo Negara atau Aquaria KLCC.
- Tempah Melalui Agensi Pelancongan Berdaftar (MOTAC)
Jika anda merancang untuk mengambil pakej pelancongan lengkap, pastikan anda menyemak latar belakang ejen pelancongan tersebut.
Bagi Tahun Taksiran 2026, yuran perkhidmatan dan bahagian pakej berpandu (guided tour) hanya boleh dituntut jika anda menempah melalui agensi pelancongan yang sah dan berdaftar secara rasmi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pembelian daripada individu atau ejen tidak berlesen tidak akan diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
- Semak Status Hotel & Butiran Resit Penginapan
Ini adalah kriteria paling kritikal yang sering terlepas pandang oleh orang ramai. Tidak semua penginapan layak mendapat pelepasan cukai tahun ini. Kriteria 2026 meletakkan syarat ketat bagi membuat tuntutan kos hotel:
- Premis Mesti Berdaftar: Hotel, chalet atau inap desa tersebut wajib berdaftar dengan MOTAC.
- Butiran Resit yang Jelas: Sebelum mendaftar keluar, pastikan resit rasmi anda memaparkan Cukai Pelancongan (jika berkenaan) atau Nombor Pendaftaran Premis yang sah. Resit tulisan tangan yang kabur atau resit tanpa nombor pendaftaran tidak layak untuk tuntutan cukai.
Sediakan satu fail digital atau aplikasi khas dalam telefon pintar anda untuk mengimbas semua resit pelancongan sepanjang tahun 2026 ini. Resit bercetak pada kertas mudah pudar dalam masa beberapa bulan, jadi salinan digital adalah penyelamat terbaik anda apabila musim e-Filing tiba tahun depan!
Melancong dengan bijak, poket pun selamat!
Tiada komen lagi.