Pernah tak anda rasa jantung seolah-olah berhenti berdegup melihat hasil seni anak di tempat yang paling tidak sepatutnya? Perkara yang sedang tular di sosial media sekarang ini perlu menjadi peringatan keras buat semua ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Bayangkan, hanya berbaki kurang 24 jam sebelum penerbangan ke luar negara, segala kelengkapan sudah siap dikemas. Tiket sudah di tangan dan hotel sudah ditempah. Namun, segalanya berubah menjadi mimpi ngeri apabila si kecil dengan bangganya menunjukkan lukisan terbaharu beliau. Bukan di atas kertas, bukan di dinding tetapi tepat di atas muka surat utama passport ibunya!
Habis rupa paras diconteng dengan pen, siap ada tanda cinta dan garisan abstrak menutupi maklumat penting. Si ibu? Hanya mampu terdiam dan buntu. Dalam kepala sudah terbayang kerugian ribuan ringgit jika percutian itu terpaksa dibatalkan.
Kelam-kabut misi 24 Jam
Ramai yang bertanya, bolehkah teruskan percutian dengan passport yang rosak? Jawapannya: TIDAK. Passport adalah dokumen rasmi kerajaan. Sebarang contengan, koyakan atau kesan air dikategorikan sebagai rosak. Anda tidak boleh melepasi kaunter imigresen dengan dokumen sebegitu.
Maka bermulalah episod kelam-kabut mencari pejabat Imigresen yang masih dibuka. Memandangkan kes ini melibatkan kerosakan yang serius, ia tidak boleh dibuat secara atas talian. Pemilik perlu hadir sendiri untuk sesi siasatan ringkas bagi menjelaskan punca kerosakan.
Dalam situasi kecemasan sebegini, tips utama adalah terus ke Ibu Pejabat Imigresen Negeri atau cawangan besar seperti di Putrajaya atau Shah Alam. Dengan membawa bukti tiket penerbangan esok pagi, rayuan dibuat agar proses penggantian disegerakan. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kerjasama pegawai yang bertugas, passport baharu berjaya disiapkan dalam tempoh beberapa jam, walaupun terpaksa membayar denda kerosakan yang boleh tahan harganya!
Adalah lebih baik untuk anda membuat laporan polis terlebih dahulu dan terus bergerak ke pejabat imigresen mahu pun UTC berdekatan. Passport boleh disiapkan dalam masa 2 atau 3 jam sahaja.
Tips penjagaan passport: Jangan sampai nasi menjadi bubur
Kejadian ini mengajar kita bahawa passport bukan sekadar buku kecil, tetapi aset paling berharga semasa travel. Berikut adalah langkah pencegahan yang wajib anda buat:
- Simpan di tempat tinggi & berkunci: Jangan letak passport di dalam laci meja atau beg tangan yang mudah dicapai anak-anak. Simpan di tempat yang paling tinggi atau dalam peti besi kecil yang berkunci.
- Gunakan passport cover berkualiti: Ia melindungi daripada kotoran, tumpahan air, atau calar yang tidak disengajakan. Elakkan membeli yang murah atau jenis bergetah kerana ditakuti ianya akan melekat pada passport anda.
- Ziplock adalah penyelamat: Jika anda travel ke tempat yang lembap atau aktiviti air, masukkan passport ke dalam beg plastik ziplock. Ia adalah pelindung paling murah tetapi paling berkesan daripada kerosakan air.
- Audit setiap 3 bulan: Jadikan rutin untuk memeriksa keadaan fizikal passport anda. Pastikan tiada helaian yang tercabut atau kesan kulat akibat kelembapan simpanan.
- Simpan salinan digital: Sentiasa scan passport anda dan simpan di dalam emel atau cloud. Walaupun ia tidak menggantikan pasport fizikal, ia sangat membantu urusan verifikasi jika berlaku kecemasan di luar negara.
Kesimpulannya, kreativiti anak-anak memang tiada sempadan tetapi sebagai ibu bapa, kita perlu lebih peka. Jangan biarkan percutian impian musnah hanya disebabkan sebatang pen dan kecuaian sesaat.
Tiada komen lagi.