Pelancongan di Selatan Thailand bakal mengalami revolusi berskala besar menerusi pelaksanaan dua projek jambatan ikonik. Projek pembinaan Jambatan Koh Lanta di Krabi dan Jambatan Tasik Songkhla yang menghubungkan Phatthalung–Songkhla dijadualkan bermula secara rasmi pada 14 November ini selepas diumumkan oleh kerajaan Thailand baru-baru ini.
Kedua-dua projek bernilai keseluruhan lebih 6.6 bilion baht ini dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi menjelang 2029. Langkah infrastruktur ini bukan sahaja menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas kronik yang berlarutan selama berdekad malah bakal membuka laluan baharu bagi segmen pelancongan darat peringkat antarabangsa.

Perincian Projek Dua Jambatan Mega
1. Jambatan Koh Lanta (Krabi)
Jarak & Kos: Panjang 2.24 km (termasuk jalan penghubung) dengan nilai projek sebanyak 1.78 bilion baht.
Laluan: Menghubungkan Ban Hua Hin di Khlong Thom (tanah besar Krabi) terus ke Koh Lanta Noi.
Fungsi Utama: Menggantikan perkhidmatan feri kenderaan yang sebelum ini menjadi satu-satunya mod pengangkutan darat ke pulau tersebut.
- Penjimatan Masa: Menaiki feri ke Koh Lanta: 2 – 3 jam manakala hanya 2 minit sahaja apabila menggunakan jambatan baharu nanti.
2. Jambatan Tasik Songkhla (Phatthalung – Songkhla)
Jarak & Kos: Panjang 7 km (6.6 km merentasi tasik) bernilai kira-kira 4.8 bilion baht.
Laluan: Menghubungkan daerah Khao Chaison di Phatthalung dengan Daerah Krasae Sin di Songkhla.
Identiti Seni Bina: Tiang jajaran jambatan direka khas mengikut motif pergerakan tarian tradisional Nora, seni warisan Selatan Thailand.
- Penjimatan Masa: Sebelum ini, perjalanan darat antara Phatthalung dan Songkhla terpaksa melalui jalan jauh mengelilingi tasik yang mengambil masa hampir 2 jam. Jambatan baharu ini dijangka memendekkan masa perjalanan kepada hanya 15 minit sahaja.
Dengan sambungan lebuh raya darat secara berterusan ini, pelancong dari Malaysia yang memandu kenderaan sendiri menerusi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar boleh merancang road trip yang lebih lama.









Tiada komen lagi.