Syarikat penerbangan nasional kita, Malaysia Airlines (MAS), bukan sekadar sebuah jenama. Ia adalah simbol identiti dan kebanggaan seluruh warga Malaysia.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa perjalanan syarikat penerbangan ini tidak pernah sunyi daripada ujian. Daripada tragedi yang pernah menggoncang jiwa seluruh negara, hinggalah ke cabaran operasi dan persaingan sengit industri penerbangan global, pelbagai gelombang dan dugaan pernah mencalarkan imej ‘wira’ ruang udara kita ini. Ada ketika suara-suara skeptikal mula kedengaran dan kepercayaan orang ramai diuji.
Namun, seperti kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Jenama kesayangan negara ini enggan terus malap dalam bayang-bayang masa lalu. Tiba masa untuk bangun semula dan mencipta nama di persada dunia.
Pencapaian Gemilang di Skytrax 2026
Terbaharu, di pentas berprestij Skytrax World Airline Awards 2026, Malaysia Airlines telah membuktikan bahawa daya tahan dan usaha tanpa henti akhirnya membuahkan hasil.
Dua pengiktirafan terbesar yang berjaya diraih:
-
Best Airline Staff in Asia 2026: Dinobatkan sebagai barisan kakitangan penerbangan (darat dan udara) terbaik di seluruh rantau Asia.
-
Top 3 World’s Best Cabin Crew: Melonjak 5 anak tangga dari posisi ke-8 pada tahun 2025 untuk menduduki tangga ke-3 terbaik di dunia, berdiri gah di samping nama gergasi penerbangan antarabangsa iaitu Cathay Pacific Airways dan juga Singapore Airlines.
Bukan itu sahaja, MAS turut melonjak ke tangga ke-21 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, naik ke posisi ke-2 bagi kategori Best Airport Services, serta membuat kemunculan sulung yang membanggakan di tangga ke-18 bagi World’s Best Business Class Airlines.

Kehangatan ‘Malaysian Hospitality’ yang Tiada Tandingan
Mengapa anugerah ini sangat bermakna? Kerana dalam dunia penerbangan moden yang kerap memfokuskan kepada kemewahan teknologi semata-mata, MAS membuktikan bahawa ‘jiwa’ sesebuah penerbangan terletak pada ‘siapa’ yang mengendalikannya.
Senyuman ikhlas kru kabin sewaktu menyapa di pintu masuk pesawat, kesantunan ketika menghidangkan sate ayam kegemaran ramai, melayani karenah penumpang setiap hari serta keprihatinan mereka menjaga keselesaan setiap penumpang, inilah ramuan rahsia yang dipanggil Malaysian Hospitality. Jiwa Malaysia inilah yang tidak boleh dijual beli atau ditiru oleh mana-mana syarikat penerbangan lain di dunia.
Kemenangan ini adalah bukti nyata bahawa di sebalik setiap kritikan dan ujian lalu, ribuan warga kerja MAS daripada juruterbang, kru kabin, jurutera hinggalah ke petugas garis hadapan di lapangan terbang bekerja keras tanpa henti untuk memulihkan martabat dan membina semula kepercayaan dunia.
‘Bunga Raya’ Terbang Tinggi Lagi
Pengiktirafan di Skytrax 2026 ini bukan sekadar piala untuk dipamerkan di pejabat korporat tetapi ia adalah bukti bahawa Malaysia mampu bersaing dan menjadi antara yang terbaik di pentas dunia.
Tahniah Malaysia Airlines! Terima kasih kerana terus menerbangkan jalur gemilang dengan penuh megah dan membuktikan bahawa kelembutan budi bahasa dan layanan Malaysia adalah yang terbaik di mata dunia.
Tiada komen lagi.