Siapa yang tengah cari tempat healing tapi bajet ‘ngam-ngam soi’, meh rapat sini. Tak payah terbang jauh-jauh sampai 10-12 jam. Sebelah negara kita je ada ‘syurga’ alam semula jadi yang tersangatlah lawa!
Tahu tak, sekarang ni masa terbaik untuk cuti-cuti ke Indonesia? Dengan nilai Rupiah yang tengah mesra poket sekarang ni, boleh dapat percutian kayangan. Makan sedap, shopping puas, hotel cun tapi poket tetap ‘tersenyum’. Dekat, jimat dan pastinya puas hati!
Tak tahu nak pergi mana? Berikut adalah 5 destinasi menarik di Indonesia yang sangat sesuai untuk percutian keluarga, lengkap dengan lokasi yang wajib dilawati:
Bandung (Kawasan Lembang & Ciwidey, Jawa Barat)
Destinasi tanah tinggi yang menawarkan pemandangan alam semula jadi yang memukau tanpa memerlukan aktiviti hiking yang berat.
- Dusun Bambu: Sebuah taman eko-pelancongan yang menawarkan pemandangan tasik, hutan buluh dan sawah padi. Di sini disediakan perkhidmatan shuttle bus mini (percuma/berbayar) dari tempat letak kereta ke kawasan utama, jadi warga emas tidak perlu berjalan jauh. Anak-anak pula boleh bermain di kawasan lapang.
- Kawah Putih (Ciwidey): Tasik gunung berapi dengan air berwarna putih kehijauan yang sangat unik. Dari tempat letak kereta, pelawat akan menaiki kenderaan khas bernama ‘Ontang-Anting’ terus ke kawasan kawah. Jarak berjalan kaki dari hentian ke tepi kawah adalah sangat dekat.
- Farmhouse Susu Lembang: Taman tema berkonsepkan ladang Eropah. Kanak-kanak boleh memberi makan kepada arnab dan anak biri-biri, manakala warga emas boleh menikmati seni bina rumah Hobbit yang menarik.
Lombok (Kawasan Senggigi & Lombok Barat)
Jika Bali dirasakan terlalu sibuk, Lombok ialah alternatif terbaik. Ia menawarkan pemandangan ala Maldives dan gunung tetapi dengan suasana yang jauh lebih tenang, sesuai untuk warga emas yang mahukan ketenangan dan kanak-kanak yang suka bermain pasir.
- Lombok Wildlife Park: Terletak di Lombok Utara, ini bukan zoo biasa tetapi santuari haiwan yang sangat bersih dan hijau. Laluan pejalan kakinya sangat mesra keluarga. Aktiviti terbaik di sini ialah Elephant Meet & Greet di mana kanak-kanak dan warga emas boleh memberi makan kepada gajah dengan selamat tanpa perlu berjalan jauh ke dalam hutan.
- Pantai Selong Belanak / Senggigi: Pantai di Lombok sangat landai, pasirnya putih halus dan bunyi deruan ombak yang sangat tenang. Sangat selamat untuk kanak-kanak membina istana pasir atau warga emas merendam kaki sambil melihat matahari terbenam.
- Island Hopping ke Gili Nanggu / Gili Sudak (Secret Gilis): Berbeza dengan Gili Trawangan yang bising, di sini boleh sewa bot secara peribadi dan jarak dari jeti ke pulau sangat dekat. Airnya tersangat jernih malah ikan-ikan kecil boleh dilihat dari tepi pantai sahaja (tak perlu snorkeling ke tengah laut).
Yogyakarta (Kawasan Desa Wisata & Sleman)
Sering kali orang fikir Jogja hanya untuk melihat candi sejarah seperti Borobudur. Sebenarnya, Jogja mempunyai sisi alam semula jadi tanah tinggi yang sangat tenang, hijau dan langsung tidak memerlukan aktiviti fizikal berat.
Kos di Jogja juga sangat murah, makanannya mesra tekak orang Malaysia dan trafik di luar pusat bandar agak tenang.
- Merapi Lava Tour (Naik Jeep 4×4): Anda boleh menyewa kereta Jeep open-top peribadi untuk pusing-pusing di kaki Gunung Merapi. Warga emas dan kanak-kanak hanya perlu duduk di dalam Jeep sambil menikmati pemandangan gunung, angin sejuk dan merentasi sungai kecil.
- Hutan Pinus Mangunan / Pengger: Kawasan hutan pain yang sangat redup, berudara segar dan jalan yang rata. Banyak tempat duduk disediakan untuk warga emas berehat sambil melayan cucu bergambar di replika sarang burung gergasi.
- Melawat Desa Wisata (Sawah Padi): Menyewa beca tradisional atau kereta kuda (Andong) pusing-pusing kampung yang berlatarbelakangkan sawah padi hijau di sekitar Sleman atau Bantul.
Surabaya-Bromo (Jawa Timur)
Siapa kata Bromo hanya untuk orang muda? Warga emas dan kanak-kanak juga boleh menikmati keajaiban gunung berapi aktif Bromo.
- Gunung Bromo: Ini tempat wajib yang perlu anda singgah. Boleh menaiki jeep sahaja untuk sampai ke sini. Walaupun hanya berada di bawah kawah gunung berapi, pemandangan di situ sudah cukup memukau. Anda boleh juga menunggang kuda atau menaiki kira-kira 250 anak tangga konkrit untuk melihat sendiri kawah gunung berapi yang masih aktif.
- Tumpak Sewu: Air terjun dengan ketinggian 120 meter dan mempunyai beberapa tingkat, mencipta pemandangan yang memukau. Air terjun ini terletak di antara dua gunung berapi, iaitu Gunung Semeru dan Gunung Bromo. Laluan ke sini agak mencabar dan perlukan stamina yang kuat.
- Taman Safari Prigen: Mengambil masa sekitar 1.5 hingga 2 jam pemanduan dari Surabaya, ia adalah salah satu safari terbesar di Asia. Ia menawarkan konsep safari terbuka di lereng Gunung Arjun yang sejuk dan berkabus, menjadikannya sangat menyeronokkan dan selesa untuk anak kecil mahupun warga emas.
Makassar (Sulawesi Selatan)
Makassar mempunyai pemandangan alam semula jadi yang sangat unik (landskap batu kapur dan tanah tinggi) serta kulinari yang sangat sedap. Pakej percutian keluarga dari Malaysia ke sini juga semakin popular.
- Rammang-Rammang: Merupakan antara landskap pergunungan batu kapur (karst) kedua terbesar di dunia. Untuk ke kampung tradisi di dalam, anda perlu menaiki bot kayu kecil menyusuri sungai yang dikelilingi pokok nipah.
- Pantai Losari: Boleh menaiki bot katinting atau mengayuh bot itik pusing-pusing di sekitar pesisir Pantai Losari. Anda boleh berhenti seketika menikmati suasana matahari terbenanm berlatarbelakang Masjid Kubah 99 yang sungguh memukau.
- Malino Highlands (Kota Bunga): Kawasan tanah tinggi berjarak sekitar 2 hingga 2.5 jam dari pusat bandar Makassar. Suasananya sejuk seperti Cameron Highlands dengan ladang teh yang luas, hutan pain, ladang strawberi dan taman bunga mini (Kampung Eropah).
Tiada komen lagi.