Tahun 2026 menyaksikan satu kejutan besar dalam industri pelancongan serantau apabila Phu Quoc, pulau terbesar di Vietnam, secara rasminya dinobatkan sebagai pulau kedua terbaik di Asia-Pasifik dalam anugerah berprestij Travel + Leisure Luxury Awards Asia Pacific 2026!
Pencapaian luar biasa ini menyaksikan pulau yang digelar Pulau Mutiara ini mendaki satu anak tangga berbanding tahun lepas, sekali gus memintas nama-nama besar dunia seperti Bali (Indonesia), Palawan (Filipina) dan Langkawi (Malaysia). Phu Quoc kini hanya berada di belakang Koh Samui, Thailand.

Sun World Hon Thom Cable Car adalah kereta kabel merentasi laut terpanjang di dunia
Era Baharu Pelancongan Tropika
Majalah pelancongan terkenal, DestinAsian, menyifatkan Phu Quoc kini sedang memasuki era baharu pelancongan tropika. Pulau ini bukan lagi sekadar destinasi pantai yang sunyi tetapi telah berubah menjadi pusat percutian mewah bertaraf dunia hasil pelaburan mega dalam sektor hospitaliti, hiburan dan infrastruktur.
-
Seni Bina & Hiburan: Mempunyai tarikan ikonik seperti Sunset Town (berkonsepkan Eropah/Mediterranean), Kiss Bridge yang merupakan jambatan pejalan kaki unik sepanjang 800 meter di atas laut dan kereta kabel Hon Thom yang terletak di dalam taman tema Sun World Hon Thom. Ia terkenal sebagai kereta kabel merentasi laut yang terpanjang di dunia. Jangan lupa untuk terokai salah satu akuarium gergasi tercantik di dunia yang terletak di taman tema terbesar di Vietnam, VinWonders Phu Quoc.
-
Persembahan Malam: Acara bertaraf dunia seperti teater multimedia “Kiss of the Sea” dan “Symphony of the Sea”.
-
Resort Mewah Global: Rangkaian hotel elit seperti JW Marriott Phu Quoc Emerald Bay (tersenarai antara hotel pantai terbaik Vietnam 2026), New World Phu Quoc Resort dan La Festa Phu Quoc (Hilton).
- Masjid Baharu: Lebih membanggakan lagi, Masjid Ar Rahman yang merupakan satu-satunya masjid di Phu Quoc telah pun siap dibina dan dirasmikan pada awal Julai 2026. Ia sekaligus memberikan kemudahan yang dicari-cari oleh setiap pelancong Muslim.

Taman tema terbesar di Vietnam, VinPearl Phu Quoc
Lompatan Angka Luar Biasa
Daya tarikan Phu Quoc terbukti menerusi statistik yang sangat mengagumkan. Bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2026 sahaja, pulau ini telah menerima 4.77 juta kedatangan pelancong (melonjak 34.2% tahun ke tahun). Daripada jumlah itu, seramai 1.17 juta adalah pelancong antarabangsa!
Lebih hebat lagi, Phu Quoc menjana pendapatan pelancongan sebanyak VND 26.96 trilion (sekitar AS$1.03 bilion) yang menyumbang lebih 80% daripada keseluruhan pendapatan pelancongan wilayah Kien Giang.
Tip Travel: Pelancong antarabangsa boleh menikmati polisi pengecualian visa sehingga 30 hari untuk kemasukan terus ke Phu Quoc. Rangkaian penerbangan antarabangsa yang semakin meluas juga memudahkan akses ke sini tanpa perlu transit lama.
Bersedia untuk APEC 2027
Sebagai persediaan untuk menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak APEC 2027, pulau ini sedang giat menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Phu Quoc dan membina kemudahan persidangan serantau.
Sama ada anda mahukan ketenangan di tepi pantai berpasir putih, pengembaraan menaiki kereta kabel menyeberangi lautan atau bermalam di resort mewah bertaraf lima bintang, Phu Quoc sedia membuktikan mengapa ia layak digelar permata baharu Asia Tenggara. Rancang percutian anda ke Phu Quoc sekarang sebelum ia menjadi terlalu padat!
Tiada komen lagi.