Bila kita merancang percutian ke luar negara, lambakan nasihat dan tips travel boleh ditemui di mana-mana sahaja. Namun, sedarkah anda bukan semua nasihat ‘pakar’ itu praktikal di dunia realiti? Ada sebahagian tips yang dah lapuk ditelan zaman dan ada juga yang sengaja dicipta sebagai taktik pemasaran untuk buat orang panik dan berbelanja lebih.
Dalam perkongsian kali ini, kita akan bedah 7 tips popular yang sebenarnya mengarut supaya anda tak terjebak dan boleh travel dengan lebih bijak serta menjimatkan poket.
1. Jangan Jadi Pelancong, Jadi Pengembara
-
Tip Karut: Sentimen yang mengatakan kononnya gelaran pengembara itu lebih ‘mulia’ dan hebat daripada pelancong biasa yang suka melawat tempat-tempat popular.
-
Realiti: Bagi penduduk tempatan, anda tetap seorang pelancong asing. Tak payahlah pening kepala nak acah-acah jadi ‘pengembara sejati’ sampai sanggup boikot tempat viral sebab ego nak nampak berbeza dengan orang lain. Tempat tu popular mesti ada sebabnya. Jadi, pergi sahaja melawat dan nikmati percutian anda tanpa perlu fikirkan pandangan orang lain.
2. Tukar Wang Tunai di Lapangan Terbang
-
Tip Karut: Menukar duit poket di kaunter pertukaran wang di lapangan terbang sebelum memulakan perjalanan.
-
Realiti: Kadar pertukaran wang di lapangan terbang adalah idea yang langsung tak boleh diguna pakai kecuali jika anda benar-benar terdesak. Lebih baik anda menggunakan kad bank yang tiada caj transaksi luar negara atau mengeluarkan wang tunai terus dari mesin ATM bank tempatan setibanya di sana.
3. Bawa Identiti & Gaya Hidup Sendiri ke Mana-Mana Sahaja
-
Tip Karut: Nasihat kononnya kita kena sentiasa jadi diri sendiri, kekalkan cara hidup asal kita dan buat apa sahaja cara yang kita rasa betul tanpa perlu peduli apa pandangan orang lain.
-
Realiti: Tak semua budaya atau tabiat kita sesuai diamalkan di negara orang. Contoh paling dekat, aktiviti menumpang kenderaan orang secara percuma atau hitchhiking. Pelancong dari negara barat seperti US atau UK selalu buat cara ini untuk jimat belanja tetapi cara ini sangat tidak sesuai dan berbahaya untuk dilakukan di Malaysia atas faktor keselamatan dan budaya tempatan. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Kita wajib hormat undang-undang dan cara hidup destinasi yang kita lawat!
4. Wajib Beli Tali Pinggang Wang dan Dompet Anti-RFID
-
Tip Karut: Pelancong disarankan untuk membeli gajet keselamatan yang mahal untuk mengelakkan seluk saku elektronik. Ini disebabkan terpengaruh dengan maklumat yang diperoleh dari pelancong lain.
-
Realiti: Ini kebanyakannya adalah taktik pemasaran produk. Perlindungan sebenar datang daripada sikap berwaspada dengan keadaan sekeliling. Simpan dompet di poket depan, guna beg silang kecil di bahagian hadapan dada dan jangan tinggal telefon bimbit di atas meja makan begitu sahaja. Kecuaian sedikit akan membuatkan anda kerugian beribu ringgit.
5. Jangan Pergi ke Negara yang Disenaraikan Sebagai Bahaya
-
Tip Karut: Membatalkan hasrat ke sesebuah negara hanya kerana ia kelihatan menakutkan dalam berita atau kisah benar dari pengalaman pelancong lain.
-
Realiti: Paparan media sering kali membesar-besarkan situasi terburuk berbanding realiti harian jutaan penduduk di sana. Lakukan kajian tentang jenis penipuan, budaya, perkara yang perlu dielakkan dan apa yang popular di destinasi tersebut. Amalkan langkah keselamatan asas. Contoh, negara India. Banyak lagi daerah menarik di negara ini yang perlu anda jejaki. Elakkan pergi ke tempat-tempat ‘panas’ ya.
6. Tak Perlu Takaful Perjalanan Sebab Kad Kredit Dah Ada Perlindungan
-
Tip Karut: Kad kredit premium sudah dilindungi dengan takaful perjalanan terutama yang mempunyai had penggunaan yang tinggi.
-
Realiti: Kad kredit biasanya hanya melindungi kelewatan penerbangan atau pembatalan perjalanan tetapi tak semestinya dapat menampung kos perubatan kecemasan di luar negara. Anda tetap memerlukan takaful perubatan perjalanan berasingan terutama jika merancangan untuk melakukan aktiviti lasak seperti zipline, bungy jumping atau pun snow ride.
7. Berpakaian Kemas atau Bawa Coklat untuk Dapat ‘Upgrade’ Penerbangan Percuma
-
Tip Karut: Memakai baju kot atau membodek pramugari/pramugara dengan hadiah kecil untuk mendapatkan tempat duduk kelas perniagaan secara percuma.
-
Realiti: Sistem naik taraf sistem penerbangan zaman sekarang dikawal sepenuhnya oleh algoritma komputer, tahap status kesetiaan (loyalty status) dan mata ganjaran kad kredit anda. Tiada istilah suapan atau naik taraf percuma atas dasar ihsan.
Tiada komen lagi.