Kebelakangan ni banyak sangat isu flight delayed, suspended atau pun dibatalkan. Bagi kaki travel, situasi ini bukan sekadar menguji kesabaran tetapi boleh merosakkan keseluruhan momentum percutian. Ramai antara kita yang akan mula panik, marah-marah di kaunter atau sekadar duduk termenung meratapi nasib. Tetapi sebagai smart traveler, drama air mata ini sebenarnya boleh dielakkan jika kita tahu hak kita.
Ramai yang terlepas pandang bahawa di Malaysia, kita dilindungi oleh Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC). Di bawah undang-undang ini, syarikat penerbangan tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.
Apabila kelewatan mencecah 5 jam ke atas, kita sebenarnya diberi pilihan sama ada mahu diatur semula perjalanan dengan bantuan kebajikan (seperti makanan atau hotel jika terkandas bermalam) atau memilih untuk mendapatkan bayaran balik.
Bagi masalah bagasi yang lewat, rosak atau pun hilang, laporkan terus kepada syarikat penerbangan di lapangan terbang dengan mengisi Laporan Ketidakaturan Harta (PIR). Pastikan anda tidak keluar dahulu dari bahagian tuntutan bagasi. Sebaiknya ambil gambar beg sebelum pelepasan sebagai bukti.
Cara Mengemukakan Aduan
-
Syarikat Penerbangan/Pengendali Lapangan Terbang: Hubungi dan cuba dapatkan penyelesaian secara terus dengan mereka terlebih dahulu. Syarikat penerbangan/lapangan terbang dijangka menyelesaikan aduan dalam tempoh 30 hari.
-
Aduan Rasmi: Jika aduan anda masih gagal diselesaikan oleh pihak syarikat penerbangan, kemukakan aduan rasmi anda kepada CAAM melalui platform FlySmart di pautan www.flysmart.my.
Persediaan Sebelum & Semasa di Lapangan Terbang
-
Semak Status Berkala: Sentiasa semak status penerbangan anda secara berkala sepanjang musim cuti persekolahan ini kerana situasi global boleh menjejaskan jadual penerbangan. Untuk penerbangan Air Asia, anda boleh semak status terkini di laman web mereka.
-
Datang Awal: Tiba di lapangan terbang 4 jam lebih awal bagi menghadapi kemungkinan kesesakan atau pelarasan operasi.
-
Kemas Kini Maklumat: Pastikan maklumat perhubungan (nombor telefon/e-mel) yang diberikan semasa tempahan adalah yang terkini.
-
Simpan Dokumen: Simpan semua dokumen perjalanan dan bukti tempahan sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang isu.
Cabaran dalam dunia traveling itu pasti ada, terutamanya dalam fasa genting industri penerbangan global sekarang. Kesesakan dan perubahan jadual mengejut boleh berlaku bila-bila masa. Kuncinya adalah persediaan, ketenangan dan ilmu di dada. Jangan biarkan hak anda dinafikan begitu sahaja.
Tiada komen lagi.