Khabar gembira buat semua frequent travellers! Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) secara rasminya telah membolehkan permohonan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku 10 tahun dilakukan secara atas talian sepenuhnya menerusi platform MyOnline Passport.
Jika sebelum ini permohonan secara online hanya dihadkan kepada tempoh sah laku 5 tahun, kini anda bebas memilih sama ada mahukan pasport 5 tahun atau 10 tahun mengikut keperluan perancangan perjalanan masing-masing tanpa perlu lagi hadir secara fizikal untuk memohon di pejabat imigresen.
Adakah Masalah Pasport 10 Tahun di Luar Negara Sudah Selesai?
Ya, masalah tersebut telah pun diselesaikan sepenuhnya.
Bagi memahami situasi ini, isu kekeliruan yang tular sebelum ini bukan berpunca daripada sistem imigresen negara luar mahupun piawaian International Civil Aviation Organization (ICAO). Dari segi undang-undang penerbangan antarabangsa, pasport 10 tahun Malaysia adalah sah dan mematuhi standard.
Pun begitu, isu timbul disebabkan oleh sistem daftar masuk (check-in) sesetengah syarikat penerbangan antarabangsa yang menetapkan had tempoh maksimum pasport hanya 10 tahun. Apabila sesetengah pemohon memperbaharui pasport lebih awal, tempoh berbaki dari pasport lama dibawa ke pasport baharu menjadikan tempoh sah laku pasport tersebut melebihi 10 tahun (contohnya: 10 tahun 6 bulan). Ini menyebabkan sistem syarikat penerbangan gagal membaca dokumen tersebut lalu mencetuskan kesukaran sewaktu pelepasan.
Langkah Penyelesaian Penting oleh JIM:
Penetapan Had Maksimum 10 Tahun (tiada lagi lanjutan baki tempoh): Sejak Ogos lalu, Imigresen telah menghentikan pengeluaran pasport yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun. Semua pasport baharu diseragamkan tepat pada tempoh maksimum 10 tahun.
Penggantian Percuma Buat Pemegang Terdahulu: Bagi individu yang memegang pasport 10 tahun versi terdahulu (yang mempunyai baki tarikh lebih dari 10 tahun), pihak Imigresen menyediakan pasport gantian baharu secara percuma dengan tempoh diseragamkan kepada 10 tahun.
Dengan penyelarasan piawaian ini, masalah gangguan penerbangan atau sekatan sempadan akibat kekeliruan tempoh sah laku dapat diatasi sepenuhnya.
Semak Tempoh Sah Laku Pasport Sedia Ada: Sekiranya pasport 10 tahun anda dikeluarkan antara Julai hingga Ogos lalu dan mempunyai tarikh luput melebihi 10 tahun dari tarikh dikeluarkan, bawa pasport tersebut ke pejabat imigresen berhampiran untuk penukaran pasport gantian percuma.
Syarat 6 Bulan: Sentiasa pastikan pasport anda mempunyai baki sah laku sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum tarikh penerbangan antarabangsa.
Kemudahan MyOnline Passport: Selepas proses pembaharuan dan pembayaran dilakukan secara online, perkhidmatan sedia ada membolehkan pengambilan dokumen dibuat di pejabat pengeluar yang dipilih, dengan purata tempoh pemprosesan siap seawal satu jam (bergantung kepada kelancaran sistem pejabat berkenaan).










Tiada komen lagi.