Merancang percutian atau perjalanan perniagaan ke Indonesia tidak lama lagi? Sila ambil perhatian bahawa pihak berkuasa Indonesia kini telah mengemas kini dan memperketatkan struktur pengisytiharan serta kemasukan penumpang bagi memastikan proses pelepasan imigresen dan kastam menjadi lebih lancar, cekap dan selamat.
Bagi mengelakkan anda tersangkut di lapangan terbang, berikut adalah ringkasan lengkap syarat kemasukan terbaharu:
1. Pengenalan pengisytiharan bersepadu – All Indonesia
Kerajaan Indonesia telah memperkenalkan sistem pengisytiharan digital berpusat yang dipanggil All Indonesia. Sistem baharu ini menggabungkan empat borang pengisytiharan penting yang dahulunya perlu diisi secara berasingan:
-
Pengisytiharan Imigresen (Immigration Card)
-
Pengisytiharan Kastam (Customs Declaration)
-
Pengisytiharan Kesihatan (Health Declaration)
-
Pengisytiharan Kuarantin (Quarantine Declaration)
Maklumat penting pendaftaran:
-
Tempoh masa: Pendaftaran borang digital ini boleh dilakukan dalam tempoh 3 (tiga) hari sebelum tarikh ketibaan anda di Indonesia.
-
Yuran: Proses pendaftaran ini adalah 100% PERCUMA tanpa sebarang caj tambahan.
-
Kumpulan: Boleh didaftarkan secara individu mahupun secara berkumpulan/keluarga yang melancong bersama.
2. Langkah demi langkah pendaftaran ketibaan
Semua pengembara yang ingin ke Indonesia wajib mendaftar masuk maklumat perjalanan mereka secara dalam talian sebelum mendarat. Anda boleh melakukannya melalui:
-
Laman web rasmi All Indonesia di: https://allindonesia.imigrasi.go.id/ atau melalui aplikasi mudah alih rasmi mereka.
Butiran yang diperlukan semasa pengisian:
-
Maklumat perjalanan: Tarikh ketibaan, tarikh pulang, tujuan lawatan, tempat ketibaan serta jenis pengangkutan.
-
Alamat penginapan: Alamat hotel atau tempat tinggal yang lengkap sepanjang berada di Indonesia.
-
Penyerahan: Selepas semua maklumat diserahkan, sistem akan menjana Kod QR Ringkasan. Sila muat turun, simpan di dalam telefon pintar atau cetak kod QR ini untuk diimbas oleh pegawai bertugas semasa ketibaan.
3. Permohonan Visa on Arrival (VOA) & pengecualian Visa
- Tujuan: Pelancongan, lawatan sosial, mesyuarat perniagaan atau transit.
-
Sebelum penerbangan: Anda digalakkan untuk memohon Visa On Arrival Elektronik (e-VOA) atau menyemak kelayakan pengecualian visa terlebih dahulu secara dalam talian melalui portal https://evisa.imigrasi.go.id/.
-
Waktu ketibaan: Jika anda belum sempat memohon e-Visa sebelum bertolak, anda masih boleh mengimbas Kod QR khas yang disediakan di ruangan ketibaan lapangan terbang Indonesia untuk memohon VOA atau pengecualian visa secara on-the-spot.
- Tempoh: Dibenarkan tinggal selama 30 hari dan boleh dilanjutkan sekali sahaja untuk tambahan 30 hari.
Peringatan Mesra: Polisi dan syarat kemasukan ke sesebuah negara boleh berubah dari semasa ke semasa. Pastikan anda sentiasa menyemak maklumat terkini melalui portal rasmi Jabatan Imigresen Indonesia sebelum memulakan perjalanan anda. Selamat bercuti!
Tiada komen lagi.