Dunia penerbangan serantau dikejutkan dengan keputusan drastik syarikat penerbangan nasional India, Air India, yang mengumumkan pemotongan besar-besaran jadual penerbangannya bagi musim panas ini bermula Jun hingga Ogos 2026.
Selepas mengurangkan 145 penerbangan antarabangsa mingguan, syarikat gergasi yang sedang mengalami kerugian besar ini bertindak mengurangkan pula operasi domestik sebanyak 22 peratus.
Langkah ini melibatkan pembatalan kira-kira 800 penerbangan domestik seminggu daripada keseluruhan 3,600 baki jadual sedia ada. Pengumuman ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penganalisis industry, apakah punca sebenar di sebalik keputusan radikal ini dan adakah ia mempunyai kaitan langsung dengan konflik geopolitik di Timur Tengah serta krisis bekalan minyak jet dunia?
Hubungan langsung dengan ketegangan di Timur Tengah
Jawapan ringkasnya adalah ya. Krisis yang melanda Air India juga berlaku pada syarikat penerbangan lain sebelum ini. Ia merupakan implikasi langsung daripada pergolakan geopolitik yang semakin meruncing di rantau Timur Tengah walaupun gencatan senjata telah diumumkan baru-baru ini.
Bagi syarikat penerbangan seperti Air India yang mengendalikan banyak rangkaian menghubungkan Asia Selatan ke Eropah dan Amerika Utara, sekatan ini adalah satu tamparan hebat. Tanpa akses kepada ruang udara Timur Tengah yang selamat, pesawat terpaksa dilencongkan melalui laluan alternatif yang jauh lebih panjang.
Krisis bekalan dan lonjakan harga minyak jet
Faktor kedua yang menjadi pemacu utama kepada rasionalisasi penerbangan ini ialah harga bahan api penerbangan (Aviation Turbine Fuel – ATF) yang merekodkan paras tertinggi.
Ketegangan di rantau tersebut telah mencetuskan kebimbangan terhadap rantaian bekalan minyak mentah yang menyebabkan harga minyak dunia melambung tinggi.
Bagi mana-mana syarikat penerbangan, kos bahan api merangkumi antara 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi. Apabila harga ATF melonjak ke tahap tertinggi, margin keuntungan syarikat penerbangan yang sedia runcing akan terus terhakis.
Mengambil kira kedudukan kewangan Air India yang mencatatkan kerugian bersih sekitar ₹25,000 crore pada tahun fiskal lalu, mereka tidak lagi mampu menanggung kos operasi yang melambung tinggi sekarang ini.
Kesimpulan dan kesan kepada pengguna
Kesimpulannya, keputusan Air India untuk mengurangkan kekerapan penerbangan domestik dan antarabangsa adalah tindak balas defensif yang tidak dapat dielakkan akibat rantaian krisis global.
Bagi para penumpang, strategi pengurangan penerbangan ini pastinya akan membawa kepada satu kesan nyata: harga tiket penerbangan yang lebih mahal pada musim panas ini. Jadinya, pengguna perlu bersedia menghadapi kenaikan tambang yang ketara serta pilihan waktu penerbangan yang semakin terhad.
Tiada komen lagi.