Perjalanan seharian yang memenatkan sama ada menaiki kapal terbang atau memandu kereta sendiri terus hilang sebaik sahaja melihat air laut berwarna turquoise dengan pasir putih yang terbentang di hadapan mata.
Inilah antara pengalaman menarik yang boleh dinikmati apabila bercuti di Koh Lipe, Thailand.
Terletak di wilayah Satun, selatan Thailand, Koh Lipe terkenal dengan pantai yang cantik, air laut yang jernih dan suasana pulau yang lebih santai. Destinasi ini juga sering menjadi pilihan pelancong Malaysia kerana lokasinya boleh diakses melalui perjalanan darat ke Pak Bara di Satun, sebelum menaiki bot laju ke pulau tersebut.
Salah satu perkara yang menarik tentang Koh Lipe ialah pilihan penginapannya. Ada resort mewah, hotel butik, banglo kayu dan chalet tepi pantai yang sesuai untuk pelbagai bajet.
Kalau anda sedang merancang percutian ke Koh Lipe, berikut enam hotel dan chalet tepi pantai yang boleh dipertimbangkan untuk penginapan yang lebih dekat dengan laut dan tempat makan.

1. Wapi Resort
Lokasi: Sunrise Beach, Koh Lipe
Wapi Resort antara penginapan yang menarik untuk dipertimbangkan jika anda mahukan suasana percutian pulau yang didambakan.
Resort ini terletak di Sunrise Beach dan menawarkan pilihan banglo serta cottage yang sesuai untuk pelancong yang mahu menikmati suasana pantai dengan lebih dekat.
Bayangkan menikmati kopi pada waktu pagi sambil melihat laut yang terbentang luas dan suasana matahari terbit. Memang sesuai untuk mereka yang mahu berehat daripada kesibukan kerja dan kehidupan bandar.
Antara kelebihan Wapi Resort ialah lokasinya yang memudahkan tetamu untuk berjalan kaki ke kawasan restoran dan Walking Street. Jadi, tak perlu terlalu risau tentang pengangkutan untuk mencari makanan.
Anggaran harga: RM210–RM350+ semalam, bergantung pada musim dan kategori bilik.

2. Lipe Beach Resort
Lokasi: Sunrise Beach, Koh Lipe
Jika anda sukakan penginapan berkonsepkan banglo kayu dengan suasana tropika, Lipe Beach Resort adalah pilihan yang tepat.
Resort ini terletak di kawasan Sunrise Beach dan menawarkan suasana yang lebih dekat dengan alam semula jadi. Reka bentuk penginapannya memberikan pengalaman percutian pulau yang klasik.
Air laut jernih dengan terumbu karang berdekatan kawasan pantai sesuai untuk anak-anak snorkeling dan berenang, selain kemudahan mengatur bot persendirian untuk island hopping.
Terdapat kolam renang luaran, Wi-Fi percuma, sarapan percuma (untuk pakej tertentu), perkhidmatan dobi dan airport shuttle .
Anggaran harga: Sekitar RM300–RM400 semalam, bergantung pada tarikh dan jenis bilik.

3. Castaway Resort Koh Lipe
Lokasi: Sunrise Beach, Koh Lipe
Castaway Resort merupakan antara penginapan yang sering menjadi pilihan pelancong yang sukakan konsep percutian tropika.
Resort ini terkenal dengan banglo kayu satu adatu dua tingkat yang mempunyai reka bentuk ringkas dan suasana santai. Ia sesuai untuk mereka yang mahu menikmati pengalaman menginap di pulau tanpa suasana hotel bandar yang terlalu moden.
Resort ini juga merupakan pusat selaman PADI 5-bintang untuk menyelam terumbu karang, pinacles dan wreck di sekitar Taman Negara Laut Tarutao.
Kemudahan snorkeling, berkayak, dan aktiviti laut mudah diakses dari tepi pantai..
Anggaran harga: Sekitar RM325 ke atas semalam, bergantung pada musim dan kategori penginapan.

4. The Breeze Lipe Resort
Lokasi: Kawasan Pattaya Beach, Koh Lipe
Bagi yang lebih mengutamakan lokasi strategik, The Breeze Lipe Resort boleh dimasukkan dalam senarai penginapan untuk dibandingkan.
Pattaya Beach merupakan antara kawasan utama di Koh Lipe. Pantainya menjadi lokasi ketibaan dan pelepasan bot bagi kebanyakan pengunjung, selain mempunyai akses mudah ke Walking Street.
Restoran dalam resort ini menyajikan masakan Thai (sarapan, makan tengah hari dan makan malam), namun tiada maklumat sahih atau pengesahan halal yang ditemui untuk restoran ini.
Untuk mengelakkan was-was, adalah lebih baik untuk pelancong Muslim mencari makan halal di sekitar Walking Street.
Anggaran harga: Sekitar RM230–RM300 semalam pada tarikh promosi tertentu. Harga sebenar bergantung pada musim dan kategori bilik.

5. Anda Resort Koh Lipe
Lokasi: Sunrise Beach, Koh Lipe
Jika anda mahukan penginapan tepi pantai yang turut mempunyai kemudahan resort, Anda Resort Koh Lipe boleh dipertimbangkan.
Resort tiga bintang ini terletak di Sunrise Beach dan menawarkan suasana percutian yang lebih selesa dengan kemudahan seperti kolam renang dan direct access ke pantai.
Kelebihan menginap di sini ialah anda boleh menikmati suasana pantai pada waktu siang dan berehat di kawasan resort selepas melakukan aktiviti seperti island hopping atau snorkeling.
Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seperti cerek, minibar, peti ais, pengering rambut dan sebagainya. Fasiliti lain di resort ini termasuk kolam renang yang besar dan bilik mesyuarat yang boleh memuatkan sehingga 70 orang.
Anggaran harga: Sekitar RM350–RM450 semalam, bergantung pada tarikh dan jenis bilik.

6. Bundhaya Resort
Lokasi: Pattaya Beach, Koh Lipe
Bundhaya Resort merupakan satu lagi pilihan penginapan yang boleh dipertimbangkan jika anda mahu menginap berhampiran kawasan utama Koh Lipe.
Terletak di hujung Pantai Pattaya yang lebih damai berhampiran Pantai Sunrise. Ia hanya sekitar 5 minit berjalan kaki ke Walking Street serta berdekatan dengan kawasan imigresen dan jeti ketibaan.
Kelebihan utama lokasinya ialah kemudahan untuk bergerak ke restoran, kedai makan dan kedai serbaneka. Jika anda jenis yang suka keluar berjalan selepas makan malam, kawasan ini memang sesuai.
Memiliki kolam renang yang luas dengan ruang santai, selain kemudahan spa, urutan, sauna dan jakuzi.
Anggaran harga: Sekitar RM380–RM500 semalam, bergantung pada musim dan kategori bilik.
Tips Memilih Penginapan di Koh Lipe
Sebelum menempah hotel atau chalet, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:
- Pastikan lokasi benar-benar tepi pantai. Ada hotel yang menggunakan gambar laut dalam promosi tetapi bilik sebenarnya terletak jauh dari pantai.
- Bezakan seaview dengan beachfront. Seaview bermaksud bilik mempunyai pemandangan laut, manakala beachfront biasanya bermaksud penginapan terletak betul-betul di hadapan pantai.
- Semak jarak ke Walking Street. Jika suka keluar mencari makanan, pilih penginapan yang boleh dicapai dengan berjalan kaki.
- Semak rating dan ulasan pengunjung. Utamakan hotel yang mempunyai banyak ulasan terkini, bukan sekadar rating tinggi daripada beberapa orang.
- Tempah lebih awal ketika musim puncak. Disember dan Januari biasanya lebih sibuk, jadi bilik tepi pantai yang menarik boleh habis ditempah lebih awal.
Kesimpulan
Koh Lipe memang sesuai untuk mereka yang mahu menikmati percutian pulau dengan suasana lebih santai. Selain air laut yang jernih dan pantai berpasir putih, pulau ini turut menawarkan pilihan penginapan yang pelbagai mengikut citarasa anda.
Jika mahukan suasana tenang dan pemandangan matahari terbit, Sunrise Beach boleh menjadi pilihan. Tetapi jika lebih suka lokasi yang dekat dengan restoran dan kawasan tumpuan pelancong, Pattaya Beach mungkin lebih sesuai.
Apa pun pilihan anda, pastikan lokasi, jenis bilik dan harga penginapan disemak terlebih dahulu sebelum membuat tempahan.
Ingat travel, Ingat Solehah Travel!









Tiada komen lagi.