Para pelancong dan pengembara disarankan untuk tangguh atau memikirkan semula rancangan percutian ke Thailand dalam masa terdekat. Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) baru sahaja mengeluarkan Amaran Cuaca Bahaya (No. 1 247/2026) berikutan ramalan hujan lebat hingga sangat lebat, angin kencang, ribut petir dan risiko ribut di beberapa wilayah utama.
Percutian yang diimpikan berisiko bertukar menjadi pengalaman pahit apabila pihak berkuasa tempatan memberi amaran potensi berlakunya banjir kilat, limpahan air sungai dan tanah runtuh, terutamanya di kawasan berhampiran laluan air, kaki gunung serta kawasan rendah. Ini termasuk kawasan tumpuan pelancongan.
Sampai Bila Musim Hujan Ini Akan Berlangsung?
Secara umumnya, musim hujan (Monsun Barat Daya) di kawasan utara, tengah dan timur Thailand dijangka mula beransur reda menjelang pertengahan hingga akhir Oktober. Walau bagaimanapun, kawasan Selatan Thailand (termasuk pulau-pulau di Laut Andaman dan Teluk Thailand) akan terus menerima hujan lebat sehingga November dan Disember, berikutan peralihan kepada Monsun Timur Laut.
Utara, Tengah, & Timur: Situasi cuaca buruk terkini dijangka kritikal sehingga 13 Oktober 2026 dan keadaan diramal bertambah stabil bermula pertengahan/akhir Oktober.
Selatan (Pantai & Pulau): Musim hujan berlanjutan sehingga Disember. Bagi mereka yang merancang aktiviti pantai di Phuket, Krabi atau Koh Samui, dinasihatkan supaya lebih berhati-hati.
Kawasan & Daerah Terjejas Mengikut Wilayah
Berdasarkan jadual pergerakan sistem cuaca buruk oleh Jabatan Meteorologi Thailand, berikut adalah daerah dan kawasan yang perlu dielakkan:
1. Wilayah Utara (North) – Terjejas 10 & 11 Oktober
Tumpuan hujan lebat dan angin kencang adalah di bahagian Lower North:
Daerah / Wilayah: Phitsanulok, Sukhothai, Kamphaeng Phet, Phichit, Phetchabun, Nakhon Sawan dan Uthai Thani.
Risiko: Tanah runtuh di lereng bukit dan limpahan air sungai dari kawasan bukit.
2. Wilayah Tengah (Central) – Terjejas 10, 11 & 12 Oktober
Meliputi keseluruhan bahagian tengah, termasuk Bangkok dan kawasan sekitarnya:
Daerah / Wilayah: Bangkok (Bangkok Metropolis), Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Ayutthaya, Lopburi, Saraburi, Kanchanaburi, Suphan Buri, Samut Sakhon dan Samut Songkhram.
Risiko: Banjir kilat di kawasan bandar/sistem perparitan bertakung, banjir melimpahi jalan raya, serta gangguan penerbangan dan pengangkutan awam.
3. Wilayah Timur (East) – Terjejas 10 & 11 Oktober
Kawasan tumpuan pelancongan pantai dan pulau di sebelah timur:
Daerah / Wilayah: Chonburi (Pattaya), Rayong, Chanthaburi, Trat (Koh Chang), Nakhon Nayok, Prachin Buri dan Sa Kaeo.
Risiko: Ombak tinggi di kawasan pantai, aktiviti bot pelancong digantung dan banjir di kawasan tanah rendah.
4. Wilayah Selatan (South) – Terjejas Berterusan dari 9 hingga 13+ Oktober
Seluruh wilayah Selatan Thailand bakal menerima impak paling lama dan paling teruk:
Daerah / Wilayah:
Bahagian Atas/Tengah: Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan, Chumphon, Ranong, Surat Thani (Koh Samui, Koh Phangan).
Bahagian Bawah: Phang Nga, Phuket, Krabi, Trang, Satun, Songkhla (Hatyai), Yala, Pattani dan Narathiwat.
Risiko: Ombak laut melebihi 2 meter di Laut Andaman dan Teluk Thailand. Risiko fenomena air pasang, tanah runtuh di kawasan pegunungan, serta banjir di laluan darat.
Nasihat Keselamatan Penting untuk Pelancong
Tangguhkan Aktiviti Laut: Semua jenis bot dan perkhidmatan feri pelancong diminta berwaspada atau menghentikan laluan di kawasan ribut.
Jauhi Kawasan Berbahaya: Elakkan berada di kawasan lapang, bawah pokok besar atau berhampiran papan iklan yang tidak kukuh semasa angin kencang.
Pantau Jadual Penerbangan: Penerbangan domestik dan antarabangsa di Lapangan Terbang Suvarnabhumi (Bangkok), Don Mueang dan Phuket mungkin mengalami sedikit gangguan akibat ribut petir.
Semak Semula Tempahan: Sekiranya telah menempah percutian dalam masa terdekat ini, hubungi agensi pelancongan atau pihak hotel untuk perbincangan penundaan tarikh.









Tiada komen lagi.