Siapa sangka, kini nak masuk ke Vietnam dah jadi seiring dengan kecanggihan negara seperti Korea Selatan dan Jepun! Kalau sebelum ini kita cuma perlu bawa pasport (dan e-Visa jika perlu), bermula 15 April 2026, ada satu lagi langkah wajib yang anda kena buat: Kad Ketibaan Digital (Digital Arrival Card).
Apa Itu Kad Ketibaan Digital?
Ia adalah deklarasi maklumat peribadi dan perjalanan secara online sebelum anda sampai di kaunter imigresen negara berkenaan. Sistem ini diperkenalkan untuk mempercepatkan urusan di pintu masuk, terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Ho Chi Minh.
3 Perkara Penting Yang Anda Wajib Tahu:
-
Tempoh 72 Jam: Anda hanya boleh mengisi borang ini dalam tempoh 3 hari (72 jam) sebelum waktu ketibaan di Vietnam. Tak boleh buat terlalu awal! Jadikan ia rutin wajib seperti online check-in penerbangan anda.
-
Dapatkan Kod QR: Selepas mengisi maklumat di portal rasmi
prearrival.immigration.gov.vn, anda akan menerima kod OTP melalui emel. Selesai pengesahan, sistem akan menjana Kod QR. Simpan kod ini dalam telefon bimbit anda atau cetak sesiap! -
Siapa Yang Kena Buat? Semua pelancong asing (termasuk rakyat Malaysia) sama ada yang masuk menggunakan pengecualian visa atau e-Visa. Warga Vietnam yang memegang pasport Vietnam sahaja yang dikecualikan.
Langkah Mudah Mengisi Borang:
-
Langkah 1: Masukkan butiran pasport (boleh upload gambar pasport untuk pengisian automatik).
-
Langkah 2: Masukkan maklumat penerbangan, tarikh sampai dan alamat hotel/penginapan di Vietnam.
-
Langkah 3: Semak maklumat dan masukkan kod OTP yang dihantar ke emel anda.
-
Langkah 4: Muat turun pengesahan yang ada Kod QR tersebut.
Kenapa Kena Buat Awal?
Walaupun secara teknikalnya anda boleh buat selepas mendarat, pihak berkuasa Vietnam sangat menyarankan anda menyiapkannya sebelum berlepas. Ini kerana proses di kaunter akan menjadi jauh lebih lama jika anda baru nak terkial-kial cari capaian internet dan isi borang di sana.
Maklumat Tambahan
Buat masa sekarang fokus utama arahan rasmi ini adalah untuk ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat (SGN), Ho Chi Minh City sahaja. Walaupun begitu, sistem ini akan dikuatkuasakan secara menyeluruh di seluruh Vietnam dalam masa terdekat. Kami sangat galakkan anda tetap isi borang tersebut walaupun turun di lapangan terbang lain kerana sekurang-kurangnya anda sudah bersedia jika pegawai imigresen tiba-tiba meminta Kod QR daripada anda.
Tiada komen lagi.